Guru sedia jika sesi persekolahan kembali seperti biasa - NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sedia menerima kemasukan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan seperti sedia kala.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata ia bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) jika mendapati situasi telah selamat.

"Bagi kita cikgu telah bersedia kerana sekarang ini pun cikgu sudah kembali ke sekolah.

"Sekarang terpulang kepada pengumuman MKN, KKM. Apakah situasi sudah selamat, hanya mereka yang mempunyai data berkenaan.

"Bagi pihak sekolah kita sudah bersedia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Pada 24 Jun lalu kerajaan telah membuka kembali sesi persekolah selepas beberapa bulan ditutup akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun pembukaan sesi persekolahan 24 Jun itu hanya membabitkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Tiga hari lalu, kerajaan mengumumkan sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar dibenarkan beroperasi semula berdasarkan tarikh pembukaan sekolah yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semua sekolah itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KPM, dan bagi madrasah yang mempunyai kemudahan asrama perlu mengikut SOP sekolah asrama yang ditetapkan.

“Jadi kepada sekolah tahfiz, tidak perlulah membangunkan SOP mereka sendiri tetapi hanya perlu merujuk dan mengguna pakai SOP yang telah ditetapkan oleh KPM.

“Bagaimanapun bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar perlu membuat permohonan terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Agama Negeri,” kata Ismail dalam sidang media harian.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hassan, berkata pembukaan semula persekolahan perlu dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan kawalan dan keselamatan terhadap ancaman Covid-19 sentiasa terjamin.

Jelasnya, PIBGN yakin dengan keupayaan kerajaan mengawal penularan dan membuka semula sektor ekonomi secara sistematik dan berkesan.

"Tak mungkin boleh lakukan secara serentak kerana ruang akan menjadi terhad.

"Kita memerlukan kepada penyesuaian guru dengan SOP baru ini dan kawalan persekitaran bagi pastikan pelajar patuhi SOP," katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan