Oleh PROF MOHD NASARI ISMAIL
Baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pentadbirannya
berhasrat mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara
berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.
Terdapat pelbagai reaksi dari ahli masyarakat. Ada yang menyokong dan
ada yang mengutuk dengan keras. Yang mengutuk mungkin termasuk mereka
yang berpendapatan rendah yang merasakan bahawa adalah menjadi
tanggungjawab kerajaan membantu golongan yang lemah dan miskin.
Sudah tentu membantu golongan yang lemah dan miskin adalah satu
tanggungjawab.
Tetapi ia sebenarnya tanggungjawab semua ahli masyarakat
dan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.
Pada masa yang sama kita kena sedar bahawa golongan yang ingin
membantu (termasuk kerajaan) mestilah mampu berbuat demikian. Kalau
tidak mampu, maka tanggungjawab itu gugur.
Hakikatnya sekarang ialah sebenarnyan kerajaan tidak mampu berbuat
demikian kerana kerajaan sekarang sudah dalam keadaan tenat dengan
hutang berjumlah hampir RM1 trilion (atau satu ribu billion). Kerajaan
terpaksa membayar bunga sebanyak lebih dari RM30 bilion setahun atas
hutang tersebut.
Oleh itu, dari perspektif Islam sebenarnya kerajaan perlu fokus untuk
menyelesaikan semua hutangnya dahulu kerana membayar bunga atas hutang
adalah salah dan berdosa. Kerajaan kena mengkaji semua perbelanjaanya
dan pastikan semua pembaziran dan ketirisan dihentikan serta merta.
Persoalan sekarang ialah siapakah yang patut membantu orang-orang
yang susah jika kerajaan tidak mampu melakukannya? Seperti yang
dicontohkan kepada kita oleh Rasulullah SAW, yang patut membantu orang
susah bukan kerajaan tetapi ahli masyarakat sendiri.
Rasulullah SAW tidak menggunakan wang kerajaan yang dikutip dari
hasil cukai ke atas rakyat untuk membantu orang susah. Sebaliknya
baginda menganjurkan dan menasihati orang-orang mukmin untuk berbelanja
membantu orang susah, terutama sekali dari kalangan ahli keluarga mereka
sendiri dan jiran terdekat.
Bantuan yang diberikan adalah mesti dengan niat ikhlas iaitu untuk
mendapat redha dan ganjaran dari Allah SWT. Dengan cara ini, akan timbul
sikap bantu membantu dan kasih sayang di kalangan ahli masyarakat.
Cuma masalah sekarang ialah ramai ahli masyarakat sendiri dalam
keadaan yang susah. Ramai yang terbelenggu dengan hutang yang banyak.
Hutang isi rumah di Malaysia pada tahun lepas adalah berjumlah RM 1.03
trillion.
Sebenarnya ini adalah akibat dari kesilapan mereka sendiri kerana
berbelanja tidak mengikut kemampuan dengan membeli rumah yang mewah,
kereta yang mewah dan peralatan-peralatan mewah. Ada yang membuat
pinjaman peribadi untuk adakan majlis perkahwinan mewah atau untuk pergi
bercuti. Mereka tidak menyedari bahawa amalan mereka berhutang dengan
bank untuk berbelanja sebenarnya bukan sahaja mewujudkan situasi
permintaan dan perbelanjaan yang tidak normal dalam ekonomi, bahkan akan
mengakibatkan jumlah wang yang banyak diciptakan oleh industri
perbankan. Ini adalah Punca utama kepada masalah kenaikan kos sara
hidup.
Langkah kerajaan memberikan BR1M kepada rakyat dengan menggunakan
duit hutang kerajaan (seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu)
adalah satu langkah mencari populariti yang tidak bertanggungjawab dan
tidak akan menyelesaikan masalah masyarakat dalam jangka panjang. Bahkan
ianya akan membuat keadaan kewangan kerajaan menjadi lebih teruk.
Jika langkah ini diteruskan juga, akhirnya nanti kerajaan PH akan
terpaksa memperkenalkan GST balik untuk mengutip cukai dari rakyat
dengan lebih berkesan untuk membantu membayar hutang kerajaan yang akan
meningkat. Dalam erti kata yang lain, akhirnya rakyat juga yang akan
susah.
Sebagai rumusan, penyelesaian masalah kita dalam jangka panjang ialah
menukar nilai kehidupan kita sendiri supaya lebih sederhana dalam
berbelanja, mengukur baju di badan sendiri dan mengelak dari berhutang
dari industri perbankan.
Kita semua kena sedar bahawa selagi kita semua masih bergantung
kepada industri perbankan dan memberi keuntungan kepada industri
tersebut, masalah peningkatan kos sara hidup tidak akan dapat
diselesaikan. Tindak tanduk dan amalan perbelanjaan kita sendiri adalah
sebenarnya punca utama kepada masalah kewangan kita.
Masa depan kita adalah di tangan kita sendiri dan bukan di tangan
kerajaan. Generasi akan datang perlu dididik supaya kurangkan
pergantungan kepada kerajaan dan berhemah dalam berbelanja demi masa
depan mereka sendiri.
*Penulis dari Jabatan Dasar dan Strategi, Universiti Malaya dan Ahli Movement for Monetary Justice (MMJ)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan