Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana agensi di
bawah jabatan itu jika dikesan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran.
Beliau berkata, ini termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam
Malaysia (Yapeim) yang menguruskan puluhan cawangan ar-Rahnu yang
menawarkan skim pajakan emas secara Islam di seluruh negara.
“Sekarang semua ada dalam fail untuk kita tengok di mana
masalah-masalah yang timbul dan saya bagi jaminan segala perkara yang
kita dapati ada penyelewengan sudah tentu kita tidak akan biarkan,”
katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama
masyarakat anjuran Pertubuhan Prihatin Rakyat Kelantan (PRiKEL) di sini,
malam Rabu.
Pada 2015, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now)
mendakwa berlaku penyalahgunaan dan penyelewengan dana Amal Jariah (Skim
Potongan Gaji) serta pembaziran yang berlaku dalam Yapeim.
Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata, jawatankuasa yang
ditubuhkan antara pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu dan
kerajaan negeri dalam membincangkan Rang Undang-undang Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) kini tidak lagi berfungsi.
“Dasar kerajaan baharu melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka yang
lebih holisitik. Ia lebih melihat kepada intipati dari segi hakim,
penguatkuasaan, infrastruktur dan lain-lain.
“Perkara-perkara itu adalah keutamaan kita, maka sekadar RUU355 itu
belum menentukan bahawa mahkamah boleh diperkasakan,” katanya dilapor
Bernama.
Mengulas tentang Guru Takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain
(Kafa), Mujahid berkata, pihaknya sedang merangka metode penilaian bagi
menilai kembali kualiti tugas-tugas guru dalam bidang berkenaan.
“Sistem itu (metode penilaian) kita sedang buat dan bukan mudah
kerana ada lebih 30,000 Guru Takmir dan Kafa, dan ada peperiksaan Kafa
yang standard daripada kurikulum kita.
“Itupun kita perlu baiki juga bagi memastikan kualiti anak-anak kita
yang belajar di (kelas) Kafa itu betul-betul sampai di tahap yang kita
hajatkan,” katanya
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan