Benteng lebih kukuh depani situasi ekonomi

Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berpendapat, benteng yang lebih kukuh perlu didirikan dalam mendepani situasi ekonomi yang kian memburuk.

Salah satu langkah itu menurutnya, adalah untuk melanjutkan moratorium ke atas pembayaran pinjaman selama enam bulan lagi.

Setiausaha Agung DAP itu memberitahu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman kira-kira RM55 bilion itu juga tidak mencukupi dan harus digandakan.

“Kita lihat kebimbangan sesetengah pihak bahawa mungkin akan datang gelombang kedua Covid-19.
Sekiranya gelombang kedua berlaku, saya rasa ini mungkin akan menjadi satu pukulan maut kepada ekonomi kita semua.

“Oleh sebab itu adalah perlu bahawa kita mendirikan benteng yang lebih kukuh dan salah satunya langkah adalah untuk melanjutkan moratorium daripada bank-bank kepada semua perniagaan,” katanya ketika perbahasan menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Selain moratorium, Ahli Parlimen Bagan tersebut turut mencadangkan agar kerajaan menaikan jumlah rebat elektrik sekurang-kurangnya sekali ganda kepada RM154 sebulan berbanding RM77 sekarang.

“Jadi sekiranya bil elektrik naik RM200, sekurang-kurangnya dia bayar lebih kurang RM50. Ini amat perlu bukan sahaja untuk mereka yang susah tetapi juga mereka berpendapatan sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menarik perhatian dewan terhadap beberapa permasalahan dalam pelaksanaan langkah pakej rangsangan ekonomi.

Tambahnya, beliau telah mendengar banyak aduan daripada peniaga yang tidak mendapat bantuan pinjaman yang dijanjikan.

“Pertama, permohonan mereka tidak dilayan. Kedua, ada yang dapat kelulusan daripada pihak bank-bank tetapi pinjaman tidak disalurkan kepada mereka.

“Inilah masalah yang harus kita berikan penekanan,” katanya.

Pada masa sama, jelas beliau, perlu diakui bahawa terdapat ketirisan daripada saluran yang diberikan.
“Contohnya, apabila pakej bantuan hamper diberikan, kononnya RM100 tetapi nilainya hanya RM35. Mengapa perkara sedemikian boleh berlaku?” soalnya.

Dalam isu berlainan, Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan ketika berada di bawah terajunya sentiasa melayan semua aduan yang disalurkan.

Malah, katanya, ada pihak tribunal pengguna yang menyatakan penghargaan terhadap usaha pihak kementerian menjawab semua surat yang diberikan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan