Bukan hanya Mersing, tapi kerusi lain juga perlu kembali kepada UMNO - Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Semua kerusi yang dimenangi oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu dikembalikan kepada parti keramat orang Melayu itu, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri menegaskan perkara itu tidak perlu dibahas dan dirundingkan lagi kerana ia menjadi milik UMNO namun berubah akibat tindakan ahli parlimen yang memenangi kerusi tersebut memilih untuk lompat parti.

Hujah beliau UMNO tidak tewas di kerusi parlimen berkenaan dan semua ahli-ahli parti mahu ia ditandingi kembali dengan menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

"Kalau kita mahukan kerusi Mersing kembali, serupalah juga kerusi-kerusi lain yang mana UMNO bertanding dan menang tetapi ahlinya lompat parti, bukan hijrah tapi lompat parti mungkin kerana tidak ada kekuatan mental.
"Tetapi lompat ke parti lain bukan justifikasi dia nak bertanding di kerusi milik UMNO, kalau nak bertanding cari tempat lain lah, pergi lah bertanding di Bukit Bintang ke atau mana-mana tempat lain," katanya kepada Astro AWANI.

Isu kerusi milik UMNO ini timbul setelah Presiden parti itu, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas menyatakan kerusi Parlimen Mersing adalah milik UMNO.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar melabelkan UMNO sudah tidak laku lagi di Sabah.

Selain Ahmad Zahid, beberapa pemimpin UMNO yang lain antaranya Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengecam kenyataan Abdul Latiff dalam satu forum itu.

Abdul Latiff kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan ia telah diambil di luar konteks.

Namun, Ahmad Zahid menjelaskan biarpun Abdul Latiff telah memohon maaf, UMNO tetap mahu kerusi itu ditanding oleh parti itu dalam PRU15 nanti.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan