Hari terburuk dalam sejarah Parlimen

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menyifatkan hari ini merupakan hari terburuk dalam sejarah Parlimen Malaysia.

Tegasnya, kebebasan institusi Parlimen telah dicabuli oleh kuasa eksekutif.

“Saya menjadi ahli Parlimen semasa zaman Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan. Keadaan waktu itu teruk. Tapi apa yang berlaku hari ini malah lebih teruk lagi.

“Timbalan speaker dijadikan alat eksekutif. Dia sendiri tidak mampu membuat keputusan yang wajar dan terpaksa bergantung kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menjawab bagi pihaknya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, speaker Dewan Rakyat disingkirkan tanpa sebab seolah-olah ia sebahagian daripada kuasa eksekutif sedangkan Parlimen memainkan peranan yang bebas dalam sistem demokrasi.

Tambah buruk, katanya, pelantikan speaker baru tidak mengikut kebiasaan Parlimen.

Parlimen biasanya memberi notis 14 hari kepada semua ahli parlimen untuk membolehkan mereka mencalonkan speaker baru apabila jawatan itu kosong.

Untuk rekod, kekosongan speaker dan timbalan speaker masing-masing diisi serta merta oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tony turut mengkritik tindakan speaker baharu yang bertindak menghalau Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad daripada sesi Dewan.

“Saya keluar (Dewan Rakyat) sebagai tanda solidariti kepada rakan seperjuangan MP Shah Alam.

“Hari ini merupakan hari yang paling memalukan yang pernah saya saksikan dalam sejarah Parlimen. Dan ya, ia lebih buruk daripada era pentadbiran Najib,” ujarnya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan