'Muhyiddin pasti tersenyum dengan keputusan kes Najib'

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pasti tersenyum puas dengan keputusan mahkamah yang disabitkan terhadap Najib Razak hari ini, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berkata demikian selepas mahkamah mendapati bekas perdana menteri itu bersalah dalam tujuh kes berkaitan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

"Hari ini orang yang tersenyum puas apabila Najib dihukum bersalah ialah Muhyiddin bukan (Dr) Mahathir (Mohamad).

"Muhyiddin pasti berbangga kerana walaupun Najib menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong beliau sebagai PM (perdana menteri) ke-8 tetapi dia tidak boleh dibeli dengan sokongan itu.

"Muhyiddin akan mendakwa dia orang paling berprinsip. Sebab itu (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) juga tercicir dari senarai menteri, walaupun wajar dilantik sebagai timbalan perdana menteri," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Najib hari ini didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC.

Keputusan itu dibuat hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kata Mohd Nazlan, pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes yang dibawa pasukan pendakwaan.

Disebabkan itu, kata hakim, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes ke atas Najib melebihi keraguan yang munasabah.

Keputusan hari ini adalah sabitan pertama Najib yang berdepan puluhan pertuduhan lain dalam skandal syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, Muhyiddin pasti berbangga kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermoral tinggi.

Namun, katanya, ada pemimpin yang terkait dengan skandal moral dan tidak berparti boleh pula mendapat tempat dalam kabinet Muhyiddin sebagai menteri kanan.

"Alasannya dia belum didakwa. Sama juga dengan Zahid Md Arip yang terkenal dengan gelaran 'broker maut'. Dia juga belum dituduh. Sebab itu dilantik sebagai senator.
"Nampaknya isu moral hanya terpakai pada pemimpin Umno. Ia tidak terpakai kepada pemimpin parti lain terutamanya Bersatu.
"Apa pun Najib juga tidak pernah meminta supaya kes beliau digugurkan," tulis Puad lagi.
Sebelum ini Zahid menjadi perhatian ramai apabila ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pecah amanah bekas pengerusi Felda, Isa Samad.
Semasa Isa menjadi pengerusi Felda, Zahid merupakan pegawai khas bekas menteri besar Negeri Sembilan berkenaan.
Nama Zahid disebut dalam sembilan daripada 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap Isa yang didakwa menerima sogokan RM3 juta daripada pembelian sebuah hotel di Kuching.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan