Lagi pemimpin Umno tampil melahirkan rasa tidak sedang dengan pengumuman Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).
Ketua Pemuda Umno Malaysia Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyenaraikan lima sebab utama yang menurutnya memperlihatkan kemarahan dan keresahan ahli akar umbi parti itu.
Perkara utama dibangkitkannya berkaitan “pengkhianatan” anggota parlimen Bersatu yang dalam pilihan raya lalu memenangi kerusi atas tiket BN.
“(Seramai) 15 ahli parlimen Bersatu merupakan ahli parlimen Umno yang melompat sedangkan mereka menang atas penat lelah jentera parti di akar umbi,” katanya.
Sebelum ini nada hampir sama telah disuarakan oleh Naib Presiden Umno Khaled Nordin dan Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah.
Khaled berkata kemasukan Bersatu dalam MN tidak harus digunakan untuk mendesak Umno menyertai PN.
Hairi pula menyatakan rasa tidak senang dengan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar yang disokong MN.
Berikut kenyataan penuh Asyraf:
Kepimpinan tertinggi parti wajar memperhalusi dan mempertimbangkan suara hati akar umbi sebelum memuktamadkan penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional.
Daripada maklum balas ahli-ahli akar umbi, sekurang-kurangnya ada lima faktor utama yang memperlihatkan fenomena kemarahan dan keresahan ahli akar umbi. Antaranya:
Pertama, Bersatu hari ini ditanggapi oleh ramai pihak sebagai parti yang sebahagian besarnya didokongi oleh pemimpin-pemimpin yang ditanggapi sebagai mereka yang mengkhianati perjuangan. Seramai 15 ahli parlimen Bersatu merupakan ahli parlimen Umno yang melompat sedangkan mereka menang atas penat lelah jentera parti di akar umbi.
Kedua, penubuhan Bersatu sendiri pada peringkat awal sebelum PRU14 adalah serpihan Umno yang menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga runtuhnya kerajaan BN buat pertama kali dalam sejarah.
Ketiga, kenyataan-kenyataan berupa penghinaan terhadap Umno oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri begitu dalam kesannya yang amat mengguris perasaan ahli akar umbi.
Keempat, kedudukan Bersatu yang dilihat berpecah kepada beberapa kumpulan mencetuskan persepsi ramai bahawa parti Bersatu hanya mahu menyelamatkan kepimpinan tertentu berbanding agenda penyatuan ummah dan perjuangan membela rakyat.
Kelima, berbanding dengan pembentukan kerjasama dengan PAS yang melalui proses yang panjang termasuk lebih 700 siri-siri ceramah penyatuan ummah di peringkat akar umbi sehinggalah dibawa ke peringkat perhimpunan agung Umno untuk dibahaskan dan dipersetujukan bersama, penyertaan Bersatu ini dilihat ahli akar umbi semacam suatu yang terdesak dan terburu-buru!
Justeru, pandangan-pandangan ini perlu diperhalusi dan didengari oleh kepimpinan parti sebelum membuat keputusan menerima Bersatu ke dalam Muafakat Nasional. Saya khuatir penyertaan Bersatu tanpa sokongan penuh ahli-ahli akar umbi akan meruntuhkan matlamat asal yang telah terbina dan terukir hasil satu muafakat yang utuh.
0 comments:
Catat Ulasan