Dulu lawan hudud kafir harbi, sekarang sokong jadi bisikan syaitan, Mat Sabu sindir PAS


PAS kini nampaknya berdolak-dalik pendirian berkaitan isu hudud kerana mereka sekarang dalam kerajaan, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

“Saya berterima kasih kepada Muktamad PAS baru ini. Di antaranya yang disebut, dulu siapa yang menentang hudud (digelar) kafir harbi. Sekarang siapa yang menyebut hudud, itu bisikan syaitan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Amanah Shah Alam ke-4 yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Pada Muktamar PAS di Pengkalan Chepa minggu lepas, Ketua Dewan Ulama Kelantan Hassan Mohamood menggesa ahli parti berhenti melayan pihak yang asyik bertanyakan tarikh pelaksanaan hudud, menyifatkan mereka sebagai “suara syaitan”.

“Jangan terpengaruh dengan suara-suara sumbang, atau dalam bahasa kasar, ‘suara syaitan’. Bila nak buat hudud? Ini jangan tanya (pelaksanaan hudud). Kita kena tanya apa yang patut kita buat sekarang?” kata Hassan.

Mohamad dahulunya adalah timbalan presiden PAS dan antara pemimpin progresif parti Islam itu yang menentang pelaksanaan hukuman hudud dalam undang-undang Syariah Malaysia.

Beliau dan pemimpin progresif lain kalah dalam pemilihan PAS pada 2013 dan bertindak keluar parti, membentuk Amanah pada 2015 dan menyertai Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018.

Mohamad turut mengecam penggunaan perkataan “burung hud-hud” digunakan pemimpin PAS dalam kontroversi langgar kuarantin menterinya.

“Yang tak ikut arahan, mereka panggil burung hud-hud,” kata Mohamad.

Gelaran “burung hud-hud” digunakan Mursyidul Am PAS Hashim Yasin ketika mempertahankan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali yang melanggar peraturan kuarantin 14 hari selepas pulang dari luar negara ketika wabak Covid-19 melanda dunia.

Mohamad hari ini juga berkata perbezaan ulama dahulu dan sekarang adalah keberanian mereka menggunakan ayat Al-Quran untuk membenarkan tindakan mereka.

“Kenapa ulama dulu hendak baca ayat Quran, dia gementar. Kerana dia bimbang apa yang dibaca itu tidak dapat dijiwai atau dilaksana olehnya.

“Tetapi sekarang, kadang-kadang ayat Quran dibaca untuk mengiyakan perbuatan mereka, menyalahkan perbuatan orang lain,” katanya
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan