Puad salah besar bila dakwa DAP takut Jasa, kata Kit Siang


DAP mendakwa, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi salah besar apabila mendakwa kononnya DAP takut kepada Jasa.

“Mengapa Jasa yang pernah diterajui Puad ini harus ditakuti sedangkan ia adalah sebuah kegagalan besar, jika tidak sudah tentu Najib Razak masih kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini.

“Dan tentu tidak akan disabitkan dengan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dalam siri pertama kes berkaitan 1MDB serta dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta,” kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang dipercayai menjawab dakwaan Puad bahawa DAP khasnya beliau sendiri takut dengan penubuhan Jasa itu.

Menurut Puad, rakyat bising kerana peruntukan Jasa RM85.5 terlalu besar.

“Lain pula dengan Lim Kit Siang. Dia tidak mahu Jasa “dihidupkan” semula.

“DAP memang JasaFobia. DAP tutup Jasa sehingga 782 orang hilang pekerjaan
Justeru DAP janganlah hipokrit,” kata beliau.

Kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu, persoalannya sekarang adalah mengapa wang rakyat Malaysia digunakan oleh Jasa untuk menyebarkan pembohongan dan kepalsuan.

Menurut Kit Siang, Puad telah membelanjakan RM100 juta peruntukan Jasa untuk memfitnah DAP dan “memperindah” skandal 1MDB, namun usaha itu gagal seperti yang telah dibuktikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14

Katanya, sebagai Ketua Pengarah Jasa dari tahun 2015 hingga 2018, Mohd Puad Zarkashi telah membelanjakan RM100 juta peruntukan yang diterima Jasa untuk memfitnah DAP sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan komunis.

Malah beliau telah menjelajah ke luar negara untuk “memperindahkan” skandal 1MDB terutama di kalangan pelajar Malaysia yang berada di luar negara, bagaimanapun usaha itu gagal berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, katanya.

Pun begitu, katanya, dalam tempoh dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, ratusan juta ringgit sekali lagi digunakan untuk membiayai operasi siber Umno untuk terus mengambarkan DAP sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan komunis.

“Haruslah diakui bahawa usaha menyebarkan pembohongan dan kepalsuan mengenai DAP lebih berjaya kali ini berbanding usaha Puad sebagai ketua pengarah Jasa menggunakan dana awam sebanyak RM100 juta,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau bertanya, adakah RM85.5 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 untuk menghidupkan semula Jasa akan digunakan untuk membanteras kempen pembohongan yang dijalankan Puad dari tahun 2015-2018.

Begitu juga kempen pembohongan, kepalsuan dan maklumat tidak benar oleh laskar siber Umno yang menuduh DAP konnya adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan komunis, soal beliau lagi.

Puad sebelum ini mengatakan bahawa kewujudan Jasa bersifat politik dan bagi Kit Siang, tiada siapa yang membantahnya.

“Tidak hairanlah selama beliau menjadi Ketua Pengarah Jasa, beliau bertindak seperti Menteri Besar kerana gajinya lebih besar daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Padahal Jasa diletakkan secara rasmi di bawah bidang kuasa kementerian itu – meskipun beliau sebenarnya tidak bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan tetapi hanya kepada Perdana Menteri,” katanya.

Sehubungan itiu, beliau bertanya, adakah kerajaan Perikatan Nasional mahu menghidupkan kembali Jasa yang Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri tidak menyedari bahawa jumlah peruntukan kementeriannya sama tinggi iaitu sebanyak RM85 juta bahkan lebih besar daripada peruntukan anggaran tahunan Jasa pada masa Puad menerajui agensi tersebut.

“Siapa yang akan menjadi bos Jasa yang akan dihidupkan kembali ini – yang boleh menggantikan peranan Menterinya sendiri, iaitu Saifuddin Abdullah?” soal beliau.

Beliau juga mempersoalkan, apakah wajar Parlimen menubuhkan agensi ketika tugas dan peranan ketua agensi berkenaan dilihat begitu kabur dan tidak menentu, ditambah dengan kerangka acuan agensi itu yang bersifat tersembunyi dalam begitu banyak misteri.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan