KUALA LUMPUR, — Ahli parlimen wajar diberi kebebasan dalam menyatakan sokongan kepada Belanjawan 2021, kata naib presiden Umno.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penolakan terhadap Belanjawan 2021 bukanlah pengkhianatan jika wakil rakyat merasakan perlunya kepada pindaan.
“Parlimen Malaysia adalah benteng demokrasi yang terpenting. Maka apa juga yang diputuskan oleh ahli Parlimen Malaysia, mestilah mengutamakan nilai dan kepentingan pemilih dan rakyat.
“Jika seseorang ahli parlimen itu yakin bahawa peruntukan dan inisiatif di dalam Belanjawan 2021 memerlukan pembaikan atau tidak menepati kepentingan golongan sasaran, mereka wajar untuk menyatakan pendirian tersebut.
“Berbeza pendirian bukan pengkhianatan tetapi menurut tanpa akal adalah sebesar-besar khianat,” katanya.
Khaled merujuk kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PNBBC) yang menyifatkan penentangan kepada Belanjawan 2021 adalah satu pengkhianatan.
Datuk Seri Shahidan Kassim pada Khamis menegaskan peruntukan dalam Belanjawan 2021 amat penting dalam memastikan jentera kerajaan tidak terjejas.
Khaled berkata rakyat tidak memilih seorang ahli parlimen untuk menjadi wakil yang terpisah daripada denyut nadi rakyat.
Katanya, setiap ahli parlimen mesti mengambil keputusan yang dirasakan terbaik demi kemaslahatan negara.
“Oleh kerana kerajaan PN dibentuk atas dasar sokongan ahli parlimen dan bukannya kerjasama partisan yang formal, teratur dan kemas, maka kenapa perlunya desakan untuk mengundi en bloc?
“Atas dasar itu, saya percaya bahawa setiap ahli parlimen perlu diberi kebebasan dan ruang untuk membuat pilihan dan mengundi secara peribadi berdasar kesedaran dalam menyokong, berkecuali atau menolak Belanjawan 2021.
“Malaysia harus mula bergerak ke arah penyuburan amalan politik bipartisan, yang berfokus kepada pembentukan konsensus nasional rentas ideologi dan fahaman politik demi penyelesaian kemaslahatan berkepentingan nasional,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan