TIMBALAN Ketua Pengarah Kesihatan Dr Rohaizat Yon mempertahankan ketuanya Dr Noor Hisham Abdullah yang diperleceh seorang ahli Parlimen parti kerajaan bertaraf menteri Tiong King Sing.
Sinar Harian melaporkan, Dr Rohaizat berkata beliau dan ketua pengarahnya itu bertindak sebagai sokongan untuk merancang dan memberi petunjuk kepada petugas di baris depan.
“Kalau dalam peperangan mesti kita ada sokongan di belakang dan memberi petunjuk kepada barisan hadapan untuk serang musuh dan begitulah juga dalam situasi Covid-19 ini.
“Kita perlu ada strategi dan data yang lengkap untuk serang musuh tidak nampak ini jika mahu menang dalam peperangan dan bukan sekadar turun berperang tanpa persediaan.
“Jadi tidak timbul isu jika Dr Noor Hisham tidak turun ke Sabah kerana dia ada ke sana pada Ogos lalu dan mengikut jadual berkala yang dibuat secara giliran melalui KKM sendiri,” katanya.
Tambahnya, Dr Noor Hisham juga tidak bercuti sejak negara berdepan kes Covid-19 pada awal tahun.
“... Dr Noor Hisham tetap bekerja dari rumah serta menghadiri mesyuarat dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara dalam talian melalui panggilan video,” katanya.
Malah Dr Noor Hisham tetap bertugas walau ketika menjalani kurantin selepas terdedah kepada seorang menteri yang positif Covid-19, Zulkifli Mohamad, kata Dr Rohaizat.
Beliau menyambut kenyataan Dr Noor Hisham pada Khamis yang turut menangkis tuduhan dilemparkan ahli Parlimen berkenaan.
Dr Noor Hisham yang menerima anugerah kecemerlangan jenama kepemimpinan Brandlaureate 2020 berkata tidak timbul isu takut mati dalam melaksanakan tugasnya memerangi Covid-19.
Kemunculannya hampir setiap hari dalam sidang media yang disiar langsung tidak disenangi Tiong yang mendakwa Dr Noor Hisham hanya berminat untuk meraih populariti.
Katanya Dr Noor Hisham sepatutnya lebih banyak membuat lawatan ke kawasan bencana di Sabah yang merekodkan jangkitan tinggi untuk melihat keperluan dan menyokong petugas.
Tiong yang dilantik sebagai duta ke China bertaraf menteri mendakwa Dr Noor Hisham tidak melakukan apa-apa selain membaca kenyataan secara sidang media secara langsung.
“Ketua pengarah tiap-tiap hari buat berita saja, bikin apa? Office boy pun boleh baca. Kenapa dia tak turun padang, macam di Kota Kinabalu sekarang begitu teruk.
“Kenapa tak turun lawat tiap-tiap hospital. Jangan hantar saja (barisan depan). Oh orang itu tak takut mati, tapi KP takut mati… timbalan pun tak pergi.
“Tak usahlah hari-hari buat publisiti. Sekarang dengar beliau nak jadi setiausaha WHO, memang tak layak,” katanya.
Kenyataan beliau itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat dan menyebabkan beberapa wakil pembangkang diusir keluar Dewan kerana mempertahankan Dr Noor Hisham.
Tiong juga enggan menarik balik kenyataannya itu walau diberi peluang oleh Speaker.
Pelbagai pihak menuntut Tiong memohon maaf atas kenyataan itu termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs).
Presidennya Adnan Mat berkata kenyataan Tiong sangat keterlaluan dan merendah-rendahkan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus menangani penularan Covid-19.
0 comments:
Catat Ulasan