Kelantan tangguh kuliah agama hingga 28 November



MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua surau dan masjid di seluruh negeri Kelantan menangguhkan aktiviti kuliah agama bermula hari ini hingga 28 November.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pendekatan itu sebagai langkah bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata perkara itu turut mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan kuliah agama di masjid seluruh negeri berkenaan.

“Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan.

“Oleh itu, MAIK memutuskan supaya semua kuliah agama sama ada Kuliah Subuh, Kuliah Maghrib, Kuliah Dhuha dan kuliah lain termasuk kelas Al-Quran ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata bagi solat fardu dan solat sunat pula, ia boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 yang dikeluarkan MAIK sebelum ini. – Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan