Rasuah: Harapkan pagar, pagar makan padi


Oleh Mohd Anuar Ramli & Lutfil Hakim Mohd Izani

Dalam filem Melayu “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” terbitan Cathay-Keris Film Productions pada tahun 1961, terdapat babak penting yang mengetengahkan aspek integriti.

Datuk Laksamana Megat Seri Rama, ketika berusaha mencari kebenaran yang berlaku terhadap kematian isterinya Wan Anum, berkata:

“Harapkan pagar, pagar makan padi; Harapkan sokong, sokong pula membawa rebah”.

Rupanya ketepatan ekspresi ini dalam menggambarkan kekecewaan kita dalam isu melibatkan integriti, terus kekal hingga berabad lamanya.

Kebelakangan ini kita sering mendengar tentang isu rasuah di kalangan penjawat awam, malah gejala ini turut melibatkan pihak yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Ia melibatkan tangkapan penjawat awam dalam jumlah yang ramai dan kadar suapan yang sangat besar.

Keadaan ini sangat mengejutkan kerana integriti tidak lagi menjadi prinsip asas dalam melaksanakan tanggungjawab, bahkan kepentingan negara diperjudikan hanya kerana sejumlah wang.

Mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas dengan penuh integriti telah mengkhianati, disebabkan kadar suapan yang lumayan, lantas mata menjadi kabur.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jumlah pesalah rasuah pada tahun 2019 melibatkan badan berkanun, penjawat awam, swasta dan orang awam adalah seramai 143 orang, manakala jumlah pesalah setakat hari ini pada tahun 2020 adalah seramai 89 orang.

Jumlah tangkapan melibatkan jenayah rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meningkat sebanyak 23.2 peratus tahun 2019 berbanding 2018 dengan merekodkan 1,101 kes.

Dalam pengumuman oleh Transparency International (TI), Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia meningkat kepada 53 mata pada 2019 berbanding 47 mata pada 2018, sekali gus menduduki tangga ke-51 daripada 61 pada 2018.

Menurut SPRM, rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

Seksyen 3(a)(b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.”

Suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

Pengharaman rasuah dalam Islam adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran berdasarkan celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW sabdanya bermaksud:

“Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Ahmad, 6984).

Tegasnya, kedua-dua pihak bersalah dalam melakukan jenayah rasuah sama ada pihak yang memberi atau yang menerima.

Bahkan dalam ayat al-Quran di atas, Allah SWT telah melarang daripada memakan harta manusia secara batil.

Kebatilan dalam konteks ini termasuklah amalan rasuah.

Dalam hadis Nabi SAW tersebut, Allah SWT melaknat kedua-dua golongan tersebut. Ini kerana rasuah adalah jenayah yang sangat berbahaya.

Amalan ini bukan sahaja dapat memberikan kemudharatan kepada pihak yang mengambil rasuah malah melibatkan kepentingan negara dan masyarakat keseluruhannya.

Sekiranya, tujuan rasuah melibatkan urusan keluar masuk negara, ia boleh menjejaskan keselamatan negara kerana mudah dibolosi oleh pelbagai pihak.

Begitu juga tujuan rasuah dalam sektor pembinaan, akan mendedahkan keselamatan nyawa pihak yang terlibat kemudian hari. Jelasnya, bagaimana juga cara rasuah disogokkan, jenis rasuah dan tujuan rasuah dilakukan, pastinya akan mendatangkan kemudaratan kepada nyawa dan keselamatan orang ramai akan terjejas walaupun hanya dua pihak yang terlibat secara jelas dalam jenayah rasuah, iaitu pemberi dan penerima.

Asasnya, gejala rasuah ini berlaku didorong oleh faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman dalam kalangan penjawat awam yang mempengaruhi gejala rasuah yang berlaku adalah antaranya budaya kerja sepasukan dalam rangkaian jenayah rasuah yang kuat.

Ini kerana jenayah ini tidak akan berjaya tanpa pasukan yang bersubahat untuk menerima rasuah bersama.

Ia melibatkan rangkaian yang terancang bagi memastikan jenayah rasuah tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Ibaratnya dalam peribahasa Melayu menyatakan: Pandai makan, pandai simpan.

Budaya tidak sihat ini menjadi faktor yang kuat menarik golongan penjawat awam terlibat dengan gejala rasuah.

Faktor luaran berlakunya gejala rasuah kalangan penjawat awam adalah tarikan kemewahan yang ditawarkan oleh pihak sindiket.

Jumlah yang ditawarkan adalah lumayan dan mampu mengelabui mata pihak menerima. Ia termasuklah tawaran wang ringgit dalam jumlah yang besar, pakej percutian mewah, kenderaan mewah dan seumpamanya.

Desakan gaya hidup yang mewah mempengaruhi mereka terlibat dengan gejala rasuah. Ini kerana peribahasa Melayu ada menegaskan nasihat yang sangat bernilai: Memakai baju mengukur di badan sendiri.

Justeru sikap materialistik dan gaya hidup mewah yang mendominasi menjadi faktor penolak yang kuat untuk mereka menerima sogokan rasuah. Sedangkan kita wajar menyesuaikan gaya hidup dengan kadar penghasilan dan pendapatan yang halal.

Selain itu, gejala ini berlaku turut didorong oleh keimanan yang lemah kerana semestinya setiap perkara yang kita lakukan itu Allah SWT telah mengetahuinya, sama ada perlakuan yang zahir mahupun yang tersembunyi.

Bahkan golongan yang menerima rasuah gagal untuk membezakan antara sumber pendapatan yang halal dan haram. Sedangkan mencari rezki yang halal adalah satu tuntutan dalam syariat Islam.

Sehinggakan Allah menjanjikan azab neraka bagi setiap daging haram yang tumbuh di badan.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidak masuk syurga bagi orang yang dagingnya tumbuh dari unsur haram, neraka lebih utama baginya.” (Riyawat Ahmad, 14032).

Jelasnya, hadis ini adalah satu peringatan dan amaran kepada mereka yang terlibat dengan gejala haram seperti rasuah diancam dengan balasan neraka. Dengan itu, sebagai seorang yang beriman, kita patut mencari rezki yang halal agar dapat dinikmati bersama keluarga, di samping dapat mencapai keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya gejala rasuah ini adalah musuh agama dan negara. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengelakkan diri dari terjerumus dalam jenayah rasuah.

Walaupun peringkat awalnya, gejala ini mungkin dapat disembunyikan daripada pengetahuan umum, namun lambat laun ia akan terbongkar juga.

Ibaratnya: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Justeru marilah bersama-sama mencari rezki yang halal dan jauhilah gejala rasuah kerana kemudaratannya akan menimpa pelbagai pihak sama ada pemberi dan penerima rasuah, juga dapat menjejaskan keselamatan masyarakat dan kedaulatan negara.

Di samping itu, binalah jati diri yang unggul dengan melaksanakan tanggungjawab penuh integriti dan amanah.

Semoga negara kita bebas dari gejala rasuah yang membinasakan, tanpa memerlukan amukan Datuk Laksamana Megat Seri Rama sekali lagi yang penuh kecewa.


DR MOHD ANUAR RAMLI adalah pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, manakala LUTFIL HAKIM MOHD IZANI merupakan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi melalui emel di mohdanuar@um.edu.my

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan