RUU diluluskan: Pemuda AMANAH seru pembangkang bersatu


Pemuda AMANAH Nasional menyeru agar blok pembangkang bersatu sepanjang tempoh perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa pada masa ini.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kegagalan untuk menolak RUU bagi Kementerian Kewangan dan pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam amat mengecewakan.

Beliau menegaskan rakyat mengharapkan pembangkang berperanan sebagai semak dan imbang dengan sebaik-baiknya.

“Usahkan mengambilalih kerajaan, sewajarnya semua ahli Parlimen pembangkang bekerjasama dahulu, serta mengenepikan sebarang sentimen yang membibit perpecahan.

“Percayalah, rakyat di luar sedang menilai setiap perangai dan kerenah wakil rakyat yang mereka telah hantar ke dalam Parlimen,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan JPM dan Kementerian Kewangan di peringkat jawatankuasa menerusi proses undian belah bahagian.

Proses undi belah bahagian dibuat selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Mengulas dua keputusan tersebut, Shazni berpendapat Ahli Parlimen pembangkang jelas tidak mempunyai persefahaman dan tidak bersatu.

“Terdapat segelintir Ahli Parlimen tidak hadir dalam sesi pengundian yang dijalankan yang menyebabkan RUU ini gagal ditolak.

“Kredit harus diberikan kepada semua ahli Parlimen AMANAH yang hadir dalam kedua-dua sesi pengundian,” katanya.

Berkenaan sejumlah RM11.69 bilion dalam Belanjawan 2021 untuk JPM iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, beliau berpendapat jumlah itu naik berbanding sebelum ini.

“Biarpun negara sedang berhadapan pandemik, kerajaan memilih untuk meningkatkan belanja JPM sebanyak RM482 juta, bersamaan 10.7 peratus kenaikan, tanpa ada satu justifikasi tuntas kenaikan tersebut diperlukan oleh JPM.

“Selain itu, peruntukan yang kurang diberikan kepada Sarawak dan beberapa negeri lainnya. Sebaliknya sebanyak RM813 juta pula diperuntukkan untuk kerjasama awam swasta (PPP),” tambah Shazni lagi.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan