Pesawat tentera udara China termasuk 12 jet pejuangnya memasuki zon pengenalan pertahanan udara Taiwan pada hari kedua Ahad lalu, kata Taiwan, ketika ketegangan semakin meningkat di pulau itu beberapa hari selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat yang baru, Joe Biden.
China melihat Taiwan yang mentabdir secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri dan dalam beberapa bulan lalu meningkatkan aktiviti ketenteraan berhampiran pulau itu.
Bagaimanapun aktiviti China pada hujung minggu lalu semakin membimbangkan apabila ia menghantar pesawat tempur dan pesawat pengebom berbanding pesawat pengintai seperti yang biasa dilakukan beberapa minggu lalu.
Selepas lapan pesawat pengebom China dan empat jet pejuang terbang ke zon pertahanan Taiwan pada Sabtu di antara Taiwan dan Kepulauan Pratas yang dikuasai Taiwan di Laut China Selatan, sebanyak 15 pesawat lagi terbang ke ruang udara yang sama pada Ahad.
Kementerian Pertahanan Taiwan berkata China menghantar enam pesawat tempur J-10, empat pesawat J-16, dua SU-30, sebuah pesawat pengintai Y-8 dan dua pesawat anti- kapal selam Y-8.
Tentera udara Taiwan dihantar untuk bertindak balas, tambahnya.
"Arahan berjaga-jaga di udara, amaran radio dikeluarkan dan sistem peluru berpandu pertahanan udara dikerahkan untuk memantau kegiatan tersebut," kata kementerian itu.
China belum memberikan sebarang komen.
Sebelum ini China berkata tindakan tersebut bertujuan mempertahankan kedaulatan negara itu dan sebagai peringatan untuk menentang "persekongkolan" antara AS dan Taiwan.
Langkah itu pastinya membimbangkan AS yang pada Sabtu lalu mendesak China berhenti menekan Taiwan dan menegaskan kembali komitmennya terhadap pulau itu serta keinginan untuk mengeratkan hubungan.
Pada Ahad lalu, tentera AS berkata kumpulan kapal induk AS yang diketuai oleh USS Theodore Roosevelt telah memasuki Laut China Selatan untuk mempertahankan 'kebebasan laut'.
Biden mengangkat sumpah jawatan presiden AS pada Rabu lalu.
Amerika Syarikat, seperti kebanyakan negara lain tidak memiliki hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, namun terikat dengan undang-undang untuk melindungi pulau itu.
-Reuters
0 comments:
Catat Ulasan