Dr Mahathir dakwa ramai tidak setuju darurat, takut nyata bantahan


KUALA LUMPUR, 25 Jan — Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa sebilangan besar rakyat tidak bersetuju dengan perintah Ordinan Darurat yang dikenakan di seluruh negara ketika ini.

Memetik catatan di blog chedet.cc, bekas perdana menteri itu berkata soal selidik dijalankan mendapati ramai yang gusar dan takut untuk menyatakan pandangan mereka.

“Kami cuba dapat ramai orang untuk memberi pendapat berkenaan darurat. Ramai mereka yang berpendapat darurat tidak perlu. Mereka sebut beberapa sebab mereka berpendapat demikian.

“Mereka jelaskan tetapi ternampak mereka dalam ketakutan. Mereka rendah suara sambil memandang sekeliling mereka dan mereka pun pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara.

Titah baginda, ia sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Darurat yang dikenakan sehingga 1 Ogos pada masa sama menyaksikan sidang Dewan Rakyat digantung buat sementara waktu.

Sementara itu, Dr Mahathir mendakwa ramai di kalangan responden enggan menandatangani petisyen agar darurat ditarik semula.

Jelasnya, rata-rata responden gusar dikenakan tindakan undang-undang jika menyatakan bantahan terhadap darurat.

“Mereka takut kerana kerajaan penuh kuasa dan boleh buat apa sahaja kepada mereka. Denda sebanyak RM5 juta dan penjara 10 tahun. Tidak boleh dapat perlindungan undang-undang.

“Saya cuba jelas kerajaan tidak boleh buat begitu. Tetapi mereka tidak berasa senang. Disuruh tandatangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik, mereka tolak,” katanya lagi.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan