Hari ini menandakan setahun sejak Malaysia melaporkan kes pertama Covid-19 dan buat Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, penularan wabak itu masih belum nampak penghujungnya.
"Amat menyedihkan saya hari ini bahawa kita telah selama setahun bertarung melawan Covid-19 di negara ini, namun penghujungnya masih belum nampak," tulisnya di akaun media sosialnya hari ini.
Pada 25 Januari tahun lalu, Malaysia melaporkan tiga kes Covid-19 yang disahkan. Kematian pertama tidak dilaporkan sehingga 17 Mac - sehari sebelum negara melaksanakan sekatan pergerakan pusingan pertama bagi membendung penularan Covid-19.
Ketika ini, Malaysia sedang melalui gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 yang bermula pada bulan September dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan reda.
Setakat bulan ini, 207 kematian akibat Covid-19telah dicatatakan berbanding 111 kematian yang dilaporkan bulan lalu.
Buat masa ini, sistem kesihatan awam semakin parah sehingga memaksa Kementerian Kesehatan mengehadkan pengesanan kontak rapat manakala mereka yang tidak mempunyai gejala diminta supaya menjalani kuarantin kendiri yang mungkin akan menjangkiti ahli keluarga mereka.
Dr Noor Hisham berkata, walaupun pekerja kesihatan kini keletihan dari segi mental dan fizikal, namun, mereka dan seluruh masyarakat perlu terus berjuang membendung penularannya.
"Setiap orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama.
"Patuhi SOP, pakai pelitup muka dengan betul, cuci tangan, dan jaga penjarakan fizikal. Tinggal di rumah jika kamu tidak mempunyai perkara mendesak di luar.
"Bersama-sama kita dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama meneruskan perjuangan ini, Insya-Allah," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan