ADA kisah dongeng yang popular di negara Barat berhubung seorang maharaja yang terlalu asyik dengan pakaian cantik dan fesyen terbaharu sehingga terperdaya untuk membeli dan memakai “baju tenunan benang ajaib” yang kononnya hanya dapat dilihat oleh golongan bijaksana. Kononnya, golongan bodoh tidak dapat melihat baju tersebut.
Kisah ini dinamakan “The Emperor’s New Clothes” atau baju baharu maharaja. Ringkasnya, “baju ajaib” ini dipakai sang maharaja di khalayak ramai.
Sedangkan pada hakikatnya sang maharaja berada dalam keadaan bogel! Tiada yang ingin menegurnya kerana semua takut dianggap bodoh dan ingin dianggap sebagai golongan bijaksana.
Maka semua memuji baju maharaja, kononnya cantik dan begitu halus tenunannya serta indah coraknya. Maka maharaja berasa begitu bangga, terus menayangkan baju baharunya di khalayak dalam keadaan dirinya sedang telanjang bulat!
Mungkin begitulah keadaannya seseorang yang dianggap ilmuan dan ulama taraf dunia selepas menghasilkan tulisan dan kupasan yang turut disertakan ayat Al-Quran dan Hadis.
Dalam keadaan sentiasa dikipas oleh golongan pengkagum dan walaunnya, beliau tetap dipuji atas tulisannya ini walaupun bagi ramai orang, tulisannya teramat cetek, malahan dangkal.
Sepertimana baju baharu maharaja bertujuan mendedahkan kehebatan pakaian sang maharaja, tulisan seseorang ilmuwan atau ulama kononnya menzahirkan kebijaksanaan dan kehebatan pemikiran ilmuan atau ulama berkenaan.
Tetapi dalam kes ini, sebaliknya tercapai. Sang maharaja didedahkan seurat benang dan ilmuan atau ulama tersebut mendedahkan kecetekan pemikirannya.
Kedua-dua kisah merupakan keadaan di mana yang tercapai adalah sebalik apa yang diinginkan dan sedihnya, tidak pula disedari! Terus syok sendiri. Dan begitulah keadaannya dengan tulisan presiden PAS berhubung golongan menolak darurat.
Amat jelas kelihatan beliau tidak memahami perbezaan antara darurat dan PKP, sedangkan perbezaannya basic dan nyata!
Penghujahan beliau yang ingin menyamakan golongan yang menyeru darurat ditamatkan dengan golongan ekstremis agama yang sanggup bunuh diri, ia itu suicide bombers, adalah berpaksikan andaian tamatnya darurat bererti tamatnya PKP juga.
Sedangkan PKP dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dan PKP pernah dilaksanakan dengan jayanya tanpa diistiharkan darurat. Malah, tiada apa yang dilakukan di bawah PKP yang memerlukan darurat diistiharkan.
Ayat Al-Quran dan hadis yang dibawanya adalah berhubung arahan supaya mereka yang berada di kawasan berlakunya wabak tidak keluar dari kawasan berkenaan.
Tiada sesiapa pun mempertikaikan keperluan peraturan tersebut. Maka dibawanya ayat Al-Quran dan hadis untuk “mengislamkan” hujahnya sedangkan menyamakan golongan tolak darurat dan pelampau agama adalah satu qiasan yang tidak kena dan jauh lari dari kebenaran.
Dalam istilah perundangan Islam, ianya dinamakan “qias ma al-fariq”.
Meneruskan hujahnya, beliau mendakwa golongan yang merayu darurat ditamatkan tidak ambil kisah bahawa tuntutan mereka akan menyebabkan kematian ratusan, malahan ribuan manusia, sepertimana juga sikap pelampau berani mati atau suicide bombers.
Yang penting bagi golongan ini, menurut beliau, adalah mencapai matlamat politik mereka dan mendapat kuasa. Nyawa manusia, kononnya, tidak penting bagi yang menuntut darurat ditamatkan.
Saya terfikir presiden PAS ini hilang dalam lamunan dan khayalannya, tidak menyedari rampasan kuasa melalui pengkhianatan politik golongan yang disokongnya adalah sebenarnya punca berlakunya gelombang ketiga.
Tidakkah dia sedar atas keinginan kuasa melalui politik khianat kerajaan negeri dirampas tanpa malu sehingga berlakunya pilihan raya negeri (PRN) Sabah? Dan PRN itu pula pencetus gelombang ketiga?
Dan PAS bersama bertanggungjawab atas tindakan khianat yang membawa malang itu! Kalau ada yang kejam dan tidak berhati perut demi kuasa, ia PN dan BN serta GPS, iaitu gerombolan pengkhianat dan tamak kuasa yang sedang berkuasa hari ini.
Dan tiada yang boleh menafikan itulah sebenarnya sebab mengapa darurat diistiharkan. Semata-mata supaya gerombolan tidak bermaruah ini terus berkuasa.
Darurat tiada kena mengena se-sen pun dengan kawalan pandemik dan wabak atau PKP dan SOP. Melalui darurat ini maka kuasa mutlak dipegang gerombolan ini.
Mereka meluluskan undang-undang serta perbelanjaan duit negara sesuka hati mereka. Mereka menambahkan hutang dan menggunakan duit tabung negara ikut kehendak mereka. Dan yang lebih penting, mereka terus berkuasa tanpa mandat dan sokongan rakyat.
Tidak malu dan tidak bermaruah sungguh gerombolan ini, melakukan pengkhianatan terhadap rakyat dan negara dalam keadaan celik dan sedar. Mungkin presiden PAS saja yang dalam keadaan tidak sedar dan terus berkhayal.
Rakyat sudah semakin memahami keadaan sebenarnya dan “#KerajaanGagal” dan “#tamatdarurat” semakin mendapat sambutan.
Walaupun pihak pengkaji upahan menyatakan kononnya Muhyiddin Yassin terus mendapat sokongan tertinggi, semua anggap ia satu lagi usaha mengaburi mata rakyat dan menyeronokkan hati bos.
Semoga akan terus dibogelkan kecetekan pemikiran dan kedangkalan diri sang Presiden, sepertimana diteruskan penonjolan kebogelan diri sang maharaja dalam kisah “The Emperor’s New Clothes”.
Mungkinkah ini penyudahan paling tepat yang ditetapkan Ilahi terhadap seorang yang pernah mengkafirkan sesama Islam sambil membawa imej ilmuwan dan ulama bertaraf dunia?
0 comments:
Catat Ulasan