Relevankah kompaun RM50 ribu untuk penjual burger dan ‘colek’?

 


Adakah relevan kompaun sebanyak RM50, 000 dikenakan keatas penjual burger dan penjual ‘colek’ yang hanya mencari sesuap nasi buat keluarga ekoran terlebih had masa, demikian soal Ngo Jingga 13 Malaysia.

Soalan yang sedang hangat diperkatakan kini menjadi tanda tanya kepada semua golongan masyarakat termasuk Jingga 13 Malaysia.

Koordinator Penerangan dan Komunikasinya, Mohd Rudey Abd Rahman melalui kenyataannya berkata Jingga 13 Malaysia memandang serius apa yang berlaku kepada penjual burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir serta peniaga ‘colek’ Mohd Azizi Mohd Nor yang dikenakan kompaun sebanyak RM50, 000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah katanya, tindakan kompaun sedemikian adalah keterlaluan, tidak masuk akal, zalim, kejam dan mengundang rasa terkilan serta kebencian rakyat terhadap tindakan melampau tersebut.

“Jingga 13 Malaysia mendesak supaya pihak polis dan Kementerian Kesihatan menarik semula kompaun tersebut yang begitu jelas melebihi had yang sepatutnya mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan- peraturan di bawahnya yang menyatakan nilai kompaun maksima untuk individu hanyalah RM2000 dan RM10000 untuk syarikat atau premis berdaftar.

“Manakala untuk kompaun yang berjumlah RM50, 000 hanya disabit kepada peniaga yang membuka pub dan kelab malam yang dikategorikan sebagai kesalahan kategori tinggi dan bukannya seperti apa yang telah dikenakan keatas kedua-dua individu tersebut.

“Pihak berkuasa yang terlibat mengenakan kompaun yang dianggap sebagai tidak rasional tersebut didesak supaya mengkaji semula kompaun yang lebih rasional dan masuk akal,” jelas beliau.

Kata beliau lagi, sebagai sebuah kerajaan yang pernah melaung-laungkan dakwaan ‘kerajaan mungkin bukan pilihan anda, tetapi ambil berat tentang anda’ seharusnya mendidik rakyat dan bukannya menghukum dengan undang-undang yang zalim ini.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan