Kerajaan wajar ambil perhatian keputusan Majlis Raja-Raja, kata Mapim

 


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyambut baik keputusan Majlis Raja-Raja Melayu meminta supaya disegerakan sidang Parlimen kerana ia merupakan hasrat rakyat yang telah acap kali disuarakan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataannya kepada Malaysia Dateline berkata, kerajaan wajar mengambil perhatian keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu tersebut.

“Ordinan Darurat yang diputuskan atas alasan pandemik Covid-19 sehingga ke hari ini tidak menunjukkan keadaan bertambah baik. Sebaliknya darurat yang menggantung sidang Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak memberi kesan yang baik terhadap cara pandemik ini ditangani.

“Parlimen merupakan medan terbaik bagi semua wakil rakyat berbahas mencari jalan menangani pandemik wabak Covid-19 dengan lebih berkesan dan pandangan dari semua wakil rakyat amat diperlukan setelah angka wabak ini semakin meruncing dan membimbangkan.

“Malah Parlimen bukan hanya sekadar menggubal undang-undang sebaliknya merupakan medan untuk berbincang secara matang mengenai semua keputusan yang dibuat termasuklah cara untuk mengatasi Covid-19 dengan peruntukan kewangan negara yang sewajarnya mendapat pertimbangan Parlimen,” ujar beliau lagi.

Tambah Mohd Azmi, keputusan Majlis Raja-Raja Melayu meminta supaya karenah birokrasi vaksinasi yang sedang dilaksanakan dapat diatasi dengan segera juga perlu diberi perhatian serius setelah pelan berfasa vaksinasi negara banyak dilihat terlalu birokratik.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan