Beberapa penganalisis politik berpendapat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Majlis Raja-raja sudah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahu parlimen bersidang awal.
Bagaimanapun kata mereka penggunaan istilah "secepat mungkin" itu membuat ruang kepada tafsiran dan mungkin digunakan kerajaan untuk menguntungkan mereka.
Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara dibentangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 16 Jun lalu, dia berkata parlimen akan dibuka apabila kes baru harian Covid-19 berada pada tahap kurang daripada 2,000 dan katil di unit rawatan rapi "mencukupi".
Sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk negara ini juga mestilah sudah divaksin.
Setakat ini Putrajaya belum menjelaskan 'kekaburan' syarat-syarat berkenaan. Bagaimanapun kerajaan berkata ia boleh dicapai seawal Sept ini.
Menurut profesor di Universiti Tasmania, James Chin, titah diraja itu membayangkan mereka tidak menerima garis masa yang dikemukakan Putrajaya namun mereka tidak menyatakan hal itu secara ketara.
"Saya fikir semua orang faham apa yang dimahukan raja-raja Melayu. Saranan secepat mungkin itu bermakna mereka mahukan parlimen dibuka sebelum darurat tamat pada 1 Ogos ini.
"Semua orang faham. Mereka mahu (parlimen) bersidang dalam tempoh dua atau tiga minggu, agar ia dilaksanakan," katanya.
Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula berkata kenyataan dikeluarkan Istana Negara dan Majlis Raja-raja jelas menunjukkan mereka mahukan demokrasi berparlimen berfungsi.
"Ini adalah kali kedua pendirian tersebut disampaikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menunjukkan bagaimana Agong dan raja-raja Melayu prihatin kepada situasi semasa selepas nasihat pertama mereka diabaikan," katanya.
Perlu masa selesaikan isu
Pun begitu Chin dan Awang Azman yakin mesej tersirat dari istana itu akan dipatuhi Putrajaya.
Kata Chin, Muhyiddin perlukan darurat bagi membolehkannya memiliki masa bagi mengukuhkan kedudukan.
"Saya fikir (pendirian raja-raja Melayu) tidak begitu penting buat Muhyiddin. Tiada sesiap yang boleh menyentuhnya sehingga darurat berakhir 1 Ogos nanti.
"Justeru dia cukup selamat selama enam minggu akan datang.
"Dia hanya akan berkata 'saya mengikut cadangan mereka' namun (pada akhirnya) dia akan memberi bermacam-macam alasan mengapa dia tidak boleh melakukannya.
"Maka itulah alasan mengapa dia mengumumkan pembukaan parlimen pada Sept sehari sebelum (pertemuan khas raja-raja Melayu)," katanya.
Untuk rekod Muhyiddin membentangkan pelan pemulihan itu - dan menyatakan jangkaan pembukaan parlimen - dibuat pada 15 Jun, iaitu sehari sebelum Agong bertemu raja-raja Melayu di Istana Negara.
Kata Chin kerajaan mempunyai masa kira-kira 10 minggu untuk mencari penyelesaian kepada beberapa isu penting termasuk kelewatan proses vaksinasi Covid-19.
Jika parlimen bersidang sekarang katanya kerajaan akan berdepan dengan tekanan hebat dalam isu tersebut.
Katanya lebih lama parlimen dapat dilewatkan bersidang, lebih banyak isu yang dapat diselesaikan kerajaan.
"Inilah sebabnya mengapa menteri undang-undang memberikan bermacam-macam alasan," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.
Awang Azman pula berkata helah kerajaan melewat-lewatkan pembukaan parlimen akan ditafsirkan rakyat sebagai suatu penderhakaan kepada raja.
"Kerajaan PN tak boleh lagi berdolak-dalik kecuali akur dengan keputusan Agong yang disokong oleh Majlis Raja-raja Melayu.
"Sekiranya tidak patuh keputusan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu PN akan dianggap sebagai menderhaka," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan