Keputusan Ismail buat MoU dengan PH tanpa rujuk Umno


 Keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) minggu lalu adalah tanpa merujuk kepada Umno terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui keputusan Ismail yang tanpa perbincangan dengan parti itu sebagai membelakangi Umno.

Walau bagaimanapun, Tajuddin yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, tindakan segera itu mengambil kira semangat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya mengadakan persefahaman dengan semua pihak termasuk bersama pembangkang.

“Memang nampak mendahului parti, tetapi niat dia baik. Yang di-Pertuan Agong pun dah menasihatkan supaya ada kerjasama dengan pembangkang, jadi dia nak respons pada perkara itu dan dia buat cepat kerana Parlimen dah nak mula bersidang ketika itu.

“Jadi, di situ akan wujud satu kestabilan politik yang mengambil konsep ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak,” lapor Utusan Malaysia.

Pengarah Pilihan Raya Umno tersebut berpendapat MoU dengan PH itu sebagai jaminan kerana bilangan yang menyokong kerajaan sangat tipis dengan jumlah 114 sokongan, sekali gus boleh tumbang bila-bila masa.

“Masing-masing nak gunakan kesempatan ambil peluang ini untuk mengukuhkan parti masing- masing. Untuk apa?

“Persediaan nak menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi, apa dia kaedah yang diperoleh parti kerajaan? Apa yang dibuat oleh parti pembangkang? MoU lah,” katanya.

Kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 September lalu melakar sejarah negara dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen.

Ismail berkata, MoU itu merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran serta Pembaharuan Parlimen.

Tiga lagi adalah kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, MoU tersebut penting agar kerajaan yang diterajui Ismail bertahan sehingga Julai tahun depan.

“Kalau parti pembangkang dapat peruntukan sama dengan kerajaan, bermakna RM3 juta setiap kawasan, mereka nak berkempen habis-habis, habislah kerajaan.

“Tapi nak buat macam mana? Kalau nak, kita kena bersetuju tawaran itu. Kalau tidak, kita akan ada Perdana Menteri dua minggu sahaja lah. Keuntungan bagi pihak kita, tidak diganggu. Maknanya kita stabil sampai Julai tahun depan.

“(Tanpa MoU) hari ini kita nak lalui hari mendatang pun tercungap-cungap,” katanya lagi ketika ditemubual Utusan Malaysia, 16 September lalu.

Tajuddin juga berkata, beliau memahami keadaan Perdana Menteri yang ‘tersepit’ dalam membuat keputusan kerana dalam masa yang sama, Ismail Sabri perlu menjaga kepentingan parti dalam politik.

“Kita sebagai pemimpin memang kena jaga kepentingan parti dan dalam masa yang sama perlu diingat yang kita adalah pemimpin kerajaan. Dia ada dua ‘topi’, satu kerajaan, satu parti. Parti ini ada tatakelola dia sendiri,” tambahnya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan