Royalti petroleum kerajaan Kelantan tertipu?


Oleh Mohd Sayuti Omar

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawaban bertulis kepada pertanyaan seorang ahli parlimen berkenaan bayaran royalti petroleum di negeri-negeri terbabit termasuk Kelantan, memaklumkan bayaran royalti (bayaran tunai) tidak akan diberi termasuk kepada Kelantan sebaliknya ia diberikan atas nama wang ehsan sahaja.

Alasannya kerana perolehan minyak di Kelantan di luar kawasan milik Kelantan. Wang ehsan bermakna Kelantan tidak berhak menerima 5% hasil daripada sumber petroleum di Kelantan seperti mana yang dituntut.
Alasan itulah sebelum ini diguna pakai kenapa kerajaan UBN tidak membuat bayaran kepada kerajaan Kelantan sejak bertahun-tahun sehingga "membekah" rasa marah dan hina rakyat Kelantan kerana dinafikan hak mereka. Lanjutan itu ditubuhkan Ngo "R" khusus untuk menuntut royalti petroleum secara berterusan.

Bekas Exco kanan Kelantan Husam Musa adalah orang yang bertanggungjawab mengambil inisiatif membela rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak yang dinafikan itu. Kempen menuntut royalti itu dibawa ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Arwah Tokguru Nik Aziz sendiri ikut membentuk huruf "R" dengan jari hantu dan jari telunjuknya.

Hasil gerak kerja dan usaha Husam dan Ngo "R", menyebabkan kerajaan Persekutuan bersedia untuk membuat perkiraan semula (berunding) mengenai tuntutan itu. Kerajaan Persekutuan jadi lembut apabila isu tuntutan itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2010. Membawa tuntutan itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga atas inisiatif Husam yang kini jasa dan budinya tidak dikenang oleh Pas Kelantan?

Selepas pilihan raya umum ke-14 kebetulan PH berkuasa memerintah Malaysia. Keadaan ini memberi kesempatan baik kepada Kelantan untuk mendapat haknya apabila kerajaan Persekutuan dibawah PH mengendurkan isu berkenaan. Atas lowongan dibawa oleh Husam dengan rundingan demi rundingan diadakan akhirnya kerajaan PH dibawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk membayar royalti petroleum kepada Kelantan. Dr Mahathir membatal apa yang dilakukan sebelum ini ke atas Kelantan.

Kewujudan kerajaan PH selama 22 bulan itu benar-benar membawa tuah kepada Kelantan sehingga negeri Cik Siti Wan Kembang itu dapat menikmati hasil royalti petroleum yang "digumba" di perairan mereka tetapi dinafikan mentah-mentah kerana hasad politik.

Difahamkan kerajaan Kelantan telah pun menerima bayaran frasa pertama sebanyak RM200 juta kemudian diikuti frasa kedua sebanyak RM400 juta. Bayaran itu dimasukkan terus ke dalam perbendharaan negeri Kelantan. Pun begitu rakyat di bawah masih tertanya-tanya dan "bingung kelu" tertanya-tanya ke manakah wang sebanyak itu dibelanjakan kerana kerajaan Pas tidak memperincikannya. Tidak ada sebarang pembangunan di Kelantan yang dibangunkan hasil royalti?

Suatu kesilapan lantaran kedangkalan berfikir, apabila royalti sudah diperolehi kerajaan Kelantan di bawah Pas tanpa "berkecek berkira" dengan tuan hak yang menuntut royalti, Husam Musa telah bersetuju untuk menarik balik saman ke atas Petronas. Saman yang dikemukakan pada 30 Ogos 2010 ditarik pada 2018.

Tindakan itu sebenarnya terburu-buru kerana ia tanpa memikirkan kesan dan implikasinya kerana tiada apa-apa perjanjian konkrit dengan pihak Petronas dan kerajaan Persekutuan. Sepatutnya sebelum menarik saman itu kerajaan Kelantan menyimpan apa-apa dokumen jaminan bahawa ia tidak akan diundur ke belakang semula.

Peraturan undang-undang pula apabila sesuatu saman itu ditarik balik ia tidak boleh dibawa semula ke Mahkamah atas perkara atau subjek yang sama. Pengumuman Zafrul itu membawa balik isu royalti itu ke takak lama.

Sepatutnya apabila saman itu hendak ditarik balik ia perlu dibuat secara konkrit, semisalnya ada sesuatu dokumen yang boleh dijadi pegangan, baru dikatakan bijaksana. Kerana apabila ia berlaku tidak adil atau bersifat aniaya ia boleh dirujuk kepada dokumen berkenaan. Apabila tidak ada apa-apa perjanjian maka ia seperti melepas burung ke angkasa.

Mengejutkan juga mendengar pengumuman Zafrul itu. Apakah mereka tidak membantahnya. Atau apakah Pas yang kini sudah menjadi suku daripada kerajaan UBN pimpinan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, mengira bahawa isu royalti itu tidak berbangkit lagi, sebab itu mereka tidak berani bertegas dan tanpa memikir apa-apa implikasinya.

Sikap membiar keputusan itu dibuat mungkin kerajaan Kelantan lupa bahawa yang bersedia membayar royalti itu adalah kerajaan PH yang mana di dalam kerajaan itu ada oknum yang berjuang untuk membantu Kelantan. Hari ini Petronas sudah dikuasai semula oleh kerajaan yang dahulunya menafikan hak Kelantan itu. Jadi tidak hairan kalau istilah ehsan yang dipakai sebelum ini dikembalikan semula. Berlaku kealpaan pihak kerajaan Kelantan dalam hal ini.

Saya melihat penarikan balik saman itu sesuatu yang tergesa-gesa dan tidak bijak dan berpandangan jauh atau benak membaca masalah mendatang. Husam orang yang bertanggungjawab terhadap saman dan membolisasikan tuntutan royalti itu tidak pun diberi tahu, jauh sekali diajak untuk berjemak berkira. Apabila hasilnya sudah nampak dan boleh, maka beliau dicampak terus. Kalau Husam dipanggil berbincang mungkin proses penarikan balik saman itu tidak bolos begitu sahaja.

Apa yang berlaku itu tidak boleh salahkan Tengku Zafrul dan Ismail Sabri kerana misi untuk menipu dan menganiaya rakyat Kelantan itu bermula sejak berdekad lalu oleh kerajaan UBN. Hari ini UBN berkuasa semula jadi mereka boleh menyambung misi mendera rakyat Kelantan. Apakah tindakan itu dibuat ekoran sikap Pas dalam pilihan raya di Melaka dua tiga hari lepas yang tidak menyokong BN. Apakah ia satu denda?

Persoalannya dimanakah wibawa pemimpin Pas Kelantan, dan juga menteri kabinet daripada Kelantan, Tuan Ibrahim Tuan Man, Mustapa Mohamed, Annuar Musa, Takiyuddin Hassan dan Radzi Jidin. Sosok-sosok ini tidak terlibat pun dengan tuntutan royalti kecuali Takiyuddin. Apa yang mereka buat dan apa yang mereka bincangkan dalam kabinet. Keputusan diumumkan Tengku Zafrul itu tentu diputuskan dalam kabinet? Apakah mereka hanya diam membisu dan angguk macam pok ka? Dimana tanggungjawab dan amanah mereka untuk jaga rakyat Kelantan.

Adalah sedih kalau keputusan mengubah bentuk bayaran itu dibuat atas persetujuan perdana menteri dan sedikit pun tanpa bantahan oleh lima menteri daripada Kelantan itu. Apakah mereka rasa bukan tanggungjawab mereka lagi kerana mereka sudah pun berada dikerusi yang diidamkan, menjadi menteri? Justeru hal ehwal rakyat tidak perlu dipedulikan.

Sekiranya apa diumumkan Zafrul itu kekal, rakyat Kelantan bolehlah meletakkan kekhilafan dan kerugian itu kerana kelima-lima menteri berkenaan. Untuk kesekian kalinya Pas kena tipu kepada kerajaan ditunjangi Umno. Atau kerajaan Kelantan boleh mendapatkan hak mereka itu kembali apabila bertukarnya kerajaan Kuala Lumpur dalam pilihan raya akan datang?

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan