‘Tak pernah orang yang disabit bersalah terima layanan macam Najib’ kata Mahathir

 


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan layanan istimewa diterima Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dengan kes penyelewengan dana 1MDB, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut mempertikai diskriminasi layanan diterima Ahli Parlimen Pekan itu yang terkenal dengan gelaran Bosku, berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah ditahan dan digari sebelum didakwa di mahkamah.

Beliau mempersoal atas dasar apakah keistimewaan itu diberikan kepada Najib sedangkan ia tidak diberikan kepada Anwar atau mana-mana individu yang disabitkan kesalahan.

“Walaupun dia (Najib) didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan denda lebih daripada RM200 juta, dia tidak membayar dendanya atau dipenjarakan hanya kerana dia telah membuat rayuan terhadap kesnya

“Jelas sekali kedaulatan undang-undang tidak digunakan secara sama rata antara mereka,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya hari ini.

Mahathir berkata, Najib adalah penjenayah yang telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang kerajaan.

Namun katanya, kerajaan Ismail Sabri berpendapat bahawa perbuatan mencuri wang kerajaan sehingga kerajaan terpaksa membayar semula berbilion-bilion untuk pinjaman yang dipinjam Najib, layak mendapat ganjaran RM100 juta.

“Tiada orang lain di Malaysia ini yang telah disabitkan kesalahan, tetapi dilayan seperti Najib.

“Najib diperlakukan seperti orang yang tidak bersalah, tidak membayar denda atau dipenjarakan

“Setakat yang diketahui tiada orang lain yang diperlakukan sebegini. Bahkan lebih daripada itu kerana dia kini dibenarkan ke luar negara. Sekali lagi, tidak ada duluan sedemikian di mana-mana negara,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin perlu menjelaskan mengapa layanan terhadap Najib berbeza daripada semua banduan lain di Malaysia.

Baginya, dengan kebebasan diberi kepada Najib, ia telah membenarkan beliau menggugat keputusan Mahkamah Tinggi dan menggugat seluruh institusi.

“Dengan pengaruh Najib, dia mampu menyebarkan kejahatan ini dalam kalangan pengikutnya yang naif dan mudah tertipu,” ujarnya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan