Mufti Perlis: Rombak seluruh kepimpinan SPRM

 


Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

 Melihat kepada surat sokongan anggota SPRM kepada bos mereka, maka pada pendapat saya, demi keadilan dan ketelusan pentadbiran negara ini, saya ingin mencadangkan seluruh kepimpinan SPRM disemak semula, dan sebolehnya dirombak.

Bagaimana mungkin mereka boleh membuat keputusan awal bahawa bos mereka menjadi mangsa politik padahal siasatan belum dibuat dan cara beliau menafikan sebelum ini juga tidak masuk akal.

Mereka sepatutnya bersuara tegas bahawa "demi menjaga maruah SPRM, kami menuntut satu siasatan adil dan telus dijalankan". 

Itu sahaja, tanpa memberikan pembelaan awal dalam hal yang majoriti mempertikaikannya.

Malang sekali jika badan tertinggi yang diamanahkan oleh negara untuk menghapuskan rasuah bersuara dengan tidak profesional dan janggal dalam isu rasuah yang menjadi tugasan utama dan pertama mereka.

Kenyataan bos mereka bahawa akaunnya digunakan oleh adiknya jelas sangat ganjil dan pelik. SPRM sepatutnya pihak yang paling sensitif. 

Mereka yang sepatutnya tegas membuat kenyataan bahawa hal ini wajib disiasat sehabis habisnya.

Justeru, menjadi kewajipan semua yang berakal dalam negara ini bangkit menentang rasuah dalam negara ini. Menentang rasuah adalah kewajipan agama yang besar.

Para agamawan wajar bangkit menentang hal ini melebihi kesibukan mereka membincangkan isu dosa dosa peribadi individu yang berlaku antara seseorang dengan tuhannya.

Dosa rasuah membabitkan dosa seseorang dengan Allah dan manusia. Minum arak contohnya, memang haram dan salah. Namun, dalam banyak keadaan ia antara individu dengan tuhannya.

Taubat boleh dilakukan antara dia sendirian dengan Allah. Namun rasuah adalah dosa yang menjahanamkan negara, membawa ketidakadilan dan penindasan ke atas orang lain.

Kita wajib bangkit dan tentang bersama. Taubat rasuah ialah dengan memohon keampunan Allah dan kemaafan awam.

Negara ini jika gagal tangani isu ini bererti kita di tahap korupsi yang sangat tenat.


DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan