Tak timbul isu Husam, Nik Omar lompat parti - Rafizi


Tiada isu apabila PKR meletakkan pemimpin Amanah sebagai calon parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Disebabkan hubungan kerja erat jangka panjang antara parti dalam Pakatan Harapan, Rafizi berkata mereka mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan aset kolektif masing-masing dalam gabungan itu bagi meraih keputusan terbaik dalam pilihan raya.

“Tugas kami dalam kepimpinan tertinggi dalam PKR dan Harapan ialah bagaimana menggunakan aset masing-masing dan kolektif sebaik mungkin untuk membawa keputusan (kami mahu).

"Ini bermakna kami boleh menggunakan dan mendapatkan lebih banyak sokongan kerana kami mempunyai lebih fleksibiliti dalam tatabentuk (configuration) pilihan raya kami," kata Rafizi dalam temu bual bersama Malaysiakini.

Menjawab kebimbangan terhadap bantahan daripada Amanah, dia berkata parti gabungan telah melalui pelbagai pasang surut bersama selama ini jadi isu 'pentadbiran' sedemikian dapat diselesaikan sesama sendiri.

“Kami telah berjuang berdampingan selama lebih dua dekad. Tidak syak lagi di mana letak hati mereka. Ia persoalan apakah bentuk yang terbaik yang boleh kita pakai untuk menjadikannya sesuai dalam naratif nasional.

"Amanah menghormati bahawa kita mungkin mempunyai konfigurasi pilihan raya yang berbeza untuk Husam Musa dan Nik Omar Nik Aziz dan mereka memberi kita ruang untuk memikirkan cara terbaik untuk meletakkan mereka," tambahnya.

Rafizi Ramli merujuk kepada bekas naib presiden Amanah Husam Musa, yang baru-baru ini dinamakan sebagai calon PKR di Pasir Mas.

Dia juga merujuk kepada Nik Omar anak kepada Allahyarham mursyidul am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pernah bertanding di kerusi DUN Chempaka sebagai ahli Amanah pada PRU14.

Bagi PRU15, Nik Omar akan menjadi calon PKR bagi Pasir Salak di Perak.

Rafizi menegaskan isu lompat parti tidak timbul dalam kes Husam dan Nik Omar kerana apa yang lebih penting, katanya, adalah inklusif yang mungkin untuk menarik minat pelbagai segmen rakyat.

“Apa yang kita perlukan adalah untuk menunjukkan keterangkuman, kepelbagaian, dan daya tarikan kepada segmen masyarakat yang berbeza.

"(Ia juga) untuk dapat meyakinkan pengundi bahawa kita datang dalam bentuk dan saiz yang berbeza.

“Bahawa kita mungkin berbeza dengan pengikut masing-masing tetapi kita semua berpegang kepada hala tuju asas yang sama tentang cara menjadikan sesuatu lebih baik untuk rakyat Malaysia biasa,” katanya.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan