Umno bukan lagi parti kebangsaan


Oleh A Kadir Jasin

Berpindah kawasan pilihan raya adalah amalan yang patut dialu-alukan demi menyekat penularan semangat kedaerahan dan menjadikan Malaysia lebih bersatu padu.

Parti-parti seperti DAP, PKR, PAS dan Amanah telah mengamalkan kaedah ini dengan agak meluas dan berjaya sejak sekian lama.

Malah Umno pun mengamalkannya pada tahun-tahun awal kemerdekaan. Calon dari luar kawasan malah negeri diletakkan dan menang.

Misalnya Almarhum (Tan Sri) Fatimah Hashim, orang Johor (Muar) menang bertanding di kerusi Jitra-Kuala Nerang, Kedah dalam pilihan raya umum 1959 dan 1964, dan dilantik menjadi menteri kebajikan masyarakat.

Tetapi tahun demi tahun, Umno menjadi semakin parokial (kedaerahan) sehingga pemimpin dari bahagian bersebelahan pun tidak diterima. Seboleh-bolehnya mereka mahu anak tempatan.

Daripada sudut itu, Umno bukan lagi parti kebangsaan seperti pada namanya. Ia sudah menjadi parti negeri dan daerah. Atau lebih tepat parti kawasan pilihan raya.

Lagi-lagilah sekarang ini apabila ia sudah kalah dalam PRU dan tidak lagi yakin dengan sokongan orang ramai. Ia tidak akan mengambil risiko meletakkan orang luar atau berpindah kawasan.

Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno

Masing-masing hendak bertanding di kampung sendiri malah sibuk mencari kerusi selamat seperti Timbalan Presiden, Mohamad Hasan. Dia mahu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, keluar daripada kerusi Parlimen Rembau kerana dia hendak bertanding Parlimen di situ.

ADS

Pemimpin DAP, PKR, PAS dan Amanah pula bertanding di luar kawasan atau bertukar kawasan kerana mereka yakin dengan sokongan pengundi dan bagi memperluaskan pengaruh parti mereka.

Sebaliknya bagi Umno, kecenderungan ke arah parokialisme sudah mula menjadi alasan untuk cantas menyantas daripada peringkat paling bawah hinggalah kepada yang paling atas.

Kalau hendak menang lebih banyak kerusi maka presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden serta ketua-ketua wanita, pemuda dan puteri sepatutnya bagi kerusi mereka yang selamat kepada calon yang tidak berapa kuat dan mereka sendiri serang kerusi yang kini dikuasai oleh parti-parti lawan.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media perdana menteri.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan