| M
engakui kerja-kerja kebajikan Johari Ghani di Titiwangsa selepas pilihan raya umum ke-14, calon Pakatan Harapan (PH) Khalid Samad mengingatkan bahawa tugas ahli parlimen bukan hanya sebagai “pengerusi badan kebajikan”.
Khalid yang sebelum ini merupakan ahli parlimen tiga penggal di Shah Alam mempersoalkan peranan Johari ketika menjadi ahli parlimen Titiwangsa dan menteri kewangan II dalam isu salah guna kuasa dan penyelewengan di parlimen, terutamanya skandal 1MDB.
“Apa yang penting sebagai ahli parlimen, bukan jadi pengerusi badan kebajikan. Tapi adalah lebih penting kalau dia sokong seorang perdana menteri yang berintegriti, yang ada kredibiliti, yang ada kemampuan, yang boleh membangunkan negara tanpa ada rasuah dan penyelewengan.
“Lepas itu kita nak ada suara ahli parlimen yang lantang bersuara menentang penyelewengan sebagai penggubal undang-undang yang bakal menentukan segala ruang yang mungkin wujud, yang akan menyebabkan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.
“Itu peranan sebagai ahli parlimen. Bukan soal kebajikan semata-mata,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.
Khalid merupakan calon baru yang bertanding di Titiwangsa.
Sebelum ini kerusi itu dimenangi calon Bersatu Rina Harun bagi pihak Pakatan Harapan (PH).
Bersatu bagaimanapun tidak lagi bersama PH selepas Langkah Sheraton dan Rina pula bertanding di Sepang pada PRU15.
Sementara itu, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah, menjelaskan dia meninggalkan Shah Alam untuk memberikan laluan kepada pelapis baru, timbalan pengerusi Amanah Selangor Azli Yusof.
“Kalau dia (Johari) kalah (di Titiwangsa pada PRU14) pun dia akan terus memberikan khidmat. Jadi kalau dengan saya pun (Johari kalah), dia akan terus berikan khidmat.
“Apa yang dia buat kita beri kreditlah kepada dia,” katanya yang tidak melihat anak jati Kuala Lumpur itu sebagai satu cabaran atau saingan sengit untuknya.
Ramai mahukan Anwar sebagai PM
Katanya, program menyantuni pengundi di Titiwangsa dalam tempoh dua minggu berkempen bukan sahaja sekadar bertemu dan beramah mesra bersama mereka.
Calon juga, katanya, harus mendidik mereka berkaitan peranan seorang ahli parlimen di dan bagaimana undi mereka dapat memberi perubahan dan menentukan calon perdana menteri.
“Kalau mereka (pengundi) tak tahu, saya bagi tahu. Itu tugas saya. Saya kata satu undi untuk Johari Ghani, bererti satu undi untuk (presiden Umno) Zahid Hamidi sebagai perdana menteri,” katanya.
“Memang mereka tak naklah Zahid Hamidi (sebagai PM). Kebanyakan pengundi di Titiwangsa tidak mahu Zahid Hamidi sebagai PM.
“(Ia) antara sebab yang saya merasakan Insya-Allah, peluang untuk menang di Titiwangsa semakin cerah kerana semakin dijelaskan, semakin ramai yang faham perkara ini, maka, semakin sukar untuk mereka memangkah selain daripada calon-calon PH yang nakkan Anwar Ibrahim (sebagai PM),” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditanya apakah respons pengundi terhadap penjelasannya itu.
Anwar, iaitu pengerusi PH dan juga presiden PKR merupakan calon perdana menteri PH sekiranya gabungan politik itu berjaya menang pada pilihan raya umum, 19 Nov ini.
Johari yang merupakan pengerusi badan perhubungan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur difahamkan telah meneruskan kerja-kerja kebajikan di kerusi Titiwangsa selepas kalah pada PRU14.
Rina sebelum ini didakwa tidak aktif di Titiwangsa berbanding Johari, yang membuatkan Johari–ahli majlis kerja tertinggi Umno–memutuskan untuk bertanding sekali lagi pada PRU15.
Menyentuh mengenai keperibadian Johari, Khalid menyifatkan Johari sebagai seorang yang angkuh kerana terlalu memandang rendah terhadap dirinya, yang kononnya tidak setanding timbalan presiden PKR Rafizi Ramli atau presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menyahut cabaran berdebat.
“Jangan angkuh sangat sebab pengundi tak suka sikap angkuh itu,” katanya.
Selain Johari, Khalid bakal berdepan dengan dengan dua lagi calon Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) dan Rosni Adam (Perikatan Nasional) dalam PRU15.
0 comments:
Catat Ulasan