Penantian Untuk DSA Rupanya Berakhir Dengan Indah Sekali


Oleh Hayar Hassan

Tarikh 24 Nobember 2022, hari Khamis rupanya suatu tarikh keramat buat DSAI sekeluarga , juga sahabat-sahabat beliau dan majoriti rakyat yang mengimpikan kemakmuran, kestabilan politik, keamanan dan kerancakan perkembangan ekonomi Malaysia. Malaysia yang telah dilanda musibah Covid-19 dan ketidaktentuan halatuju politik negara terpaksa melalui PRU 15.

Ramai orang berkata, rakyat serta elit-elit politik Malaysia terlalu banyak berpolitik. Sepatutnya kita hanya aktif berpolitik setiap 5 tahun sekali, menjelang PRU. Tetapi, itulah yang dinamakan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu.

Kita berpolitik sepanjang masa, tidak kira malam dan siang.

Natijahnya, setiap kali kita melalui musim PRU, akan berlakulah sedikit pergeseran dan perbalahan antara ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan. Sekira nya senario ini tidak ditangani dengan bijaksana dan secara tuntas, dibimbangi, ianya akan mencetuskan kekacauan kaum dan menjejaskan ekonomi Malaysia.

Akhirnya selepas menunggu 5 hari seusai PRU 15, barulah permasalahan pemilihan Perdana Menteri ke 10 terungkai secara tuntas. Sosok yang memainkan peranan utama adalah KDYDPA sendiri, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ampun Tuanku, rakyat semua merapahkan sembah ucapan jutaan terima kasih atas perkenan Tuanku melantik DSAI sebagai Perdana Menteri ke 10.

Semoga Allah SWT akan selalu memberkahi Tuanku serta keluarga untuk terus memerintah Malaysia yang tercinta ini dengan penuh kebijaksanaan.

Sememangnya majoriti rakyat menerima dengan baik keputusan KDYDPA. Setelah seluruh rakyat Malaysia menunggu dengan penuh debaran episod-episod cemas perkenan dari KDYDPA, akhirnya sekitar jam 1.40 tengahari hari Khamis, Istana Negara mengeluarkan kenyataan akhbar yang bersejarah itu. KDYDPA setelah bermesyuarat dengan Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu berkenan melantik DSAI sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke 10 . Semua rakyat menarik nafas lega dan mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT atas peristiwa bersejarah ini.

Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan PM akan diadakan sekitar jam 5.00 petang hari yang sama di Istana Negara. Majoriti rakyat menarik nafas lega dan menjunjung kasih atas titah KDYDPA itu. Berakhir juga suatu penantian untuk DSAI yang khabarnya dikatakan sekitar 24 tahun.

Bagi sahabat-sahabat seangkatan dengan DSAI dalam PKPIM, ABIM, Yayasan Anda, PMUM, WAMY dan sebagainya tentulah telah menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas sedikit nikmat ini yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada DSAI dan keluarga beliau.

Ucapan-ucapan tahniah daripada pemimpin-pemimpin dunia seperti Presiden Indonesia, Bapak Jokowi, Presiden Turkiye, Rashid Tayyib Erdogan, Paduka Seri Sultan Brunei, Perdana Menteri India, Perdana Menteri Republik Singapura dan lain-lain adalah melambangkan bahawa keputusan dan perkenan KDYDPA melantik DSAI sebagai PM Malaysia ke 10 adalah suatu keputusan yang tepat dan meyakinkan dunia luar. Buktinya nilai mata wang kita, RM sudah naik dan lebih mengukuh jika dibandingkan dengan sebelumnya. Kadar mata wang kita pada 27.11.2022 adalah RM 4.45 dibandingkan dengan 1 USD. Ini suatu yang amat positif.

Untuk memahami impak ekonomi Malaysia setelah RM kita mengukuh, kita boleh ambil contoh dalam isu harga ayam dan telur ayam. Industri penternakan daging dan telor ayam adalah amat bergantung kepada makanan ayam yang terpaksa diimport daripada luar negara. Ini adalah disebabkan pengeluaran makanan ayam dalam negera kita tidak mampu memenuhi permintaan.

Apabila duit kita jatuh merudum, pengimport makanan ayam dan penternak ayam terpaksa membayar lebih. Jadinya mereka terpaksa menjual daging ayam dan telur ayam pada harga yang lebih tinggi. Pengimport-pengimport daging dan telor ayam daripada Hong Kong dan Singapura pula akan banyak membeli daging dan telor ayam kita kerana nilai RM yang rendah. Jadinya akan berlaku kekurangan bekalan kepada pengguna-pengguna tempatan kerana penternak akan mendapat kelebihan untung apabila hasil ladang ternak mereka dieksport.

Begitulah sebaliknya berlaku apabila nilai RM kita telah naik. Mereka , orang Hong Kong dan Singapura sudah tidak mahu lagi membeli daging dan telor ayam kita kerana ianya sudah menjadi mahal. Hasilnya bekalan daging dan telur ayam untuk rakyat Malaysia kembali seperti biasa. Itulah dia, dunia perniagaan akan terjejas dan berubah apabila mata wang sesabuah negara itu turun atau naik. Kestabilan politik Malaysia akan banyak mempengaruhi keyakinan pihak luar untuk melabur dan berdagang dengan kita.

Seandainya kita toleh ke belakang sejenak, menyelusuri warna-warni kisah perjuangan DSAI yang sememangnya bergelora, penuh dengan ranjau serta pasang surutnya, kita perlu akur bahawa semuanya ini adalah sudah menjadi ketentuan Illahi dan qada dan qadar Allah SWT. Ini adalah bertepatan sekali dengan Rukun Iman Ke 6, Percaya Kepada Qada dan Qadar Allah SWT. Akhirnya, sememangnya DSAI telah ditakdirkan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 10 ! Terimalah sahaja qada dan qadar Illahi ini!

Alhamdulillah, rupanya detik-detik indah, penuh keharuan semasa perjalanan DSAI ke Istana Negara untuk Majlis Angkat Sumpah Jawatan PM ke 10 telah dirakamkan dengan begitu baik oleh pencipta(content creator) TIK TOK @betterman214 dalam sebuah video dengan muzik latarbelakang lagu PENANTIAN, gubahan serta lirik Allahyarham ZUBIR ALI.

Katanya ramai netizen yang menitiskan air mata gembira apabila menonton video HARI PERTAMA DSAI SEBAGAI PM 10 dan menghayati lirik lagu ini.

PENANTIAN.

Berapa lama mesti kunanti,
Sinar cahaya matamu,
Gemerlap bagai bintang,
Menghiasi malam,
Malam yang menutup diriku.
Berapa lama perlu kutunggu,
Lontaran suara dari bibir mu,
Memecah hening taman,
Taman syurgawi,
Pada sebuah hati yang sepi.
Penantian suatu siksa,
Yang tidak tertanggung,
Oleh tubuhku yang kering dan layu,
Kepastian suatu penawar,
Dalam suka dan duka,
Yang meniti hidupku.v Harmoni – Penantian.
Sebagai seorang lulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Alhamdulillah, DSAI telah berjaya menampilkan wajah seorang pemimpin Melayu
Islam yang begitu beradab, tidak gegabah, sabar, berakhlak, bersopan santun
serta penuh wibawa dalam menunggu dan berkomunikasi dengan semua pihak
semasa penantian perkenan KDYDPA. Semoga Allah SWT akan terus memberikan
kesihatan yang baik dan kebijaksanaan kepada DSAI untuk membawa perubahan
dan reformasi kepada negara Malaysia yang tercinta ini. Akhirnya marilah kita hayati serangkap pantun lama ini.
Yang merah itu saga,
Yang kurik itu kendi,
Yang indah itu bahasa,
Yang cantik itu budi.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan