Jangan harap duit KWSP, kerajaan ada cara lain


Oleh
Anita Abu Hasan

 NAMPAKNYA desakan segelintir pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berhasil setakat ini susulan kerajaan telah memutuskan tidak membenarkan pengeluaran wang daripada tabungan itu menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pencarum perlu sedar bahawa pengeluaran KWSP boleh menjejaskan simpanan keperluan mereka selepas bersara.

Keputusan itu tentu sahaja diterima oleh rakyat dengan persepsi berbeza. Bagi individu memerlukan sejumlah wang segera dalam masa terdekat mungkin merasa hampa terhadap keputusan kerajaan itu.

Kita boleh andaikan mereka memerlukan wang untuk perbelanjaan persediaan persekolahan anak-anak tidak lama lagi atau mahu melunaskan saki baki hutang terdahulu.

Bagi mereka yang tidak memerlukan wang segera, tentu bersikap selamba kerana faktor duit gaji sentiasa mencukupi atau simpanan wang masih ada.

Ada juga pihak bersikap ‘50-50’. Ibarat orang kata, ‘diberi aku ambil, tak beri aku diam’.

Sukar untuk menelaah perasaan sebenar individu yang terkesan dengan keputusan kerajaan ini. Sedihkah, kesalkah atau merajukkah terhadap kerajaan.

Apa boleh dibuat ialah bersabar dan pegang pada janji kerajaan yang akan berusaha membantu mengurangkan beban hidup rakyat tanpa bergantung kepada pengeluaran wang KWSP 2.0 semata-mata.

Berlapang dada bahawa kerajaan bukan berniat untuk ‘menyeksa’ rakyat dengan tidak membenarkan pengeluaran KWSP seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri.

Kalau ikutkan, memang kerajaan tidak ada halangan untuk rakyat mengeluarkan KWSP kerana ia wang pencarum.

Bagaimanapun keputusan tersebut demi masa depan pencarum pada hari tua.

Hasil kajian Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 oleh Jawatankuasa Kerja Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) melalui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 mendapati hanya 20 peratus rakyat dewasa bekerja di negara ini mampu menampung perbelanjaan hidup bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan jika hilang pendapatan, disebabkan tiada tabung kecemasan, selain lebih suka berbelanja berbanding membuat tabungan.

Sebanyak 47 peratus pula mengakui sukar menyediakan wang kecemasan RM1,000.

Pengerusi Bersama FEN yang juga Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Rafidz Nazri mengatakan, kaji selidik itu turut mendapati 27 peratus rakyat bekerja, sangat bimbang terhadap kemampuan mereka untuk membiayai perbelanjaan kehidupan pada hari tua.

Sementara itu, satu lagi fakta perlu direnung dalam laporan itu ialah 69 peratus rakyat Malaysia lebih suka berbelanja sekarang daripada membuat simpanan hingga menyebabkan mereka tiada simpanan jika berlaku kecemasan.

Memang agak keterlaluan untuk mengaitkan hasil laporan itu dengan isu pengeluaran KWSP kerana sememangnya sukar untuk mengetahui niat sebenar mengeluarkan caruman tersebut sama ada benar-benar memerlukan atau mahu berbelanja semata-mata.

Bagaimanapun, mengikut kaji selidik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Warisan Rakyat Prihatin Malaysia, lebih 300,000 pencarum menyokong tuntutan pengeluaran KWSP kerana memerlukan wang itu untuk membantu mereka.

Presidennya, Jannahtul Ain Jaafar berkata, tuntutan itu dengan konsep secara bersasar iaitu golongan tertentu sahaja boleh memohon, bukan secara umum.

Keupayaan Kerajaan Perpaduan pastinya dinilai sempena pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini kerana beberapa langkah sesuai untuk mengurangkan beban hidup rakyat tanpa pengeluaran KWSP khabarnya akan diumumkan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan, ia termasuk peluang menjana pendapatan tambahan kepada golongan B40.

Beginilah, masalah rakyat perlu diatasi cepat. Ia bukan gula-gula sebelum pilihan raya. Setakat ini ada Menu Rahmah tetapi kenaikan harga barangan belum dapat diatasi secara tuntas.

Isu minyak masak peket belum selesai sepenuhnya. Isu bekalan telur ayam pun belum stabil.

Khabarnya pengusaha kuih raya sudah mengeluh pasal telur. Ini baru hal minyak masak dan telur ayam. Tol? Minyak petrol?

Apa pun, jangan sampai rakyat berharap seperti menunggu ayam jantan bertelur!

*Anita Abu Hasan ialah Produser Program Sinar Harian

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan