K’jaan masih ada ruang kawal perbelanjaan negara - Rafizi

 


Kerajaan masih ada ruang untuk mengawal perbelanjaan negara terutama perbelanjaan pembinaan supaya lebih berhemah dan lebih tepat dengan perancangan, secara tidak langsung membantu kerajaan daripada segi keperluan hasil yang lebih baik.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sekiranya mampu mengawal perlaksanaan sesebuah projek yang diluluskan dengan baik dan memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan perbelanjaan yang telah diperuntukkan tanpa kenaikan kos dari setahun ke setahun, keperluan untuk berbelanja makin berkurangan.

"Bila keperluan itu kurang, projek berjalan baik dan tiada kelewatan, oleh kerana kita berada dalam kedudukan defisit perbelanjaan, kuranglah keperluan peruntukkan dan kurang berhutang.

"Justeru, bagi tempoh 12 ke 15 bulan ini, tiada keperluan untuk (pengenalan) cukai baharu, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan sebagainya. Kita mengatur perlaksanaan projek dengan lebih baik...itu akan membantu menambah hasil kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada acara HSBC Asian Business Forum di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Rafizi berkata kerajaan harus melihat GST sebagai mekanisme pungutan cukai yang lebih baik bukan mekanisme untuk kerajaan mengutip cukai lebih banyak.

Beliau berkata di negara lain, apabila gaji rakyatnya sudah mencapai suatu tahap yang tinggi, majoriti rakyat akan membayar cukai.

"Cuma daripada segi kutipan proses untuk mendapatkan cukai ini, ia lebih cerewet (teliti) kerana ia melibatkan proses yang lebih panjang. Secara perbandingan, kaedah kutipan cukai pendapatan ini lebih sukar berbanding GST kerana GST itu dikutip oleh peniaga bagi pihak kerajaan, jadi ia tidak perlu taksiran dan sebagainya," katanya.

Di negara-negara yang majoriti rakyatnya bergaji tinggi dan membayar cukai, apabila kerajaan menukar daripada cukai pendapatan kepada GST, Rafizi berkata kadar cukai pendapatan akan dikurangkan kerana peralihan kepada GST itu bukan untuk mengutip cukai tambahan tetapi kerana ia adalah kaedah yang lebih baik untuk mengutip cukai.

"Kita perlu sampai ke peringkat itu (pendapatan rakyat lebih baik) terlebih dahulu (sebelum perlaksanaan GST). Jadi...dalam keadaan majoriti rakyat Malaysia masih belum ke tahap itu (pendapatan lebih baik), kalau kita laksanakan GST, kumpulan yang pendapatan mereka tidak perlu membayar cukai...terpaksa berbuat demikian (bayar cukai)," katanya.

Sementara itu, HSBC Malaysia berkata Malaysia berada dalam kedudukan utama untuk menjadi penerima utama transformasi ekonomi global tetapi setiap organisasi perlu terus merebut peluang untuk meningkatkan kesalinghubungan antarabangsa dalam tempoh pasca pandemik.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia Datuk Omar Siddiq berkata keadaan pasaran global semasa hanya mempercepatkan tumpuan untuk mengalihkan pusat ekonomi dunia ke arah Asia dengan rantau ASEAN memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan tersebut.

"Terletak secara strategik di tengah-tengah ASEAN, Malaysia terus menawarkan potensi besar kepada pelabur. Antara cabaran tahun 2022, negara ini merupakan negara berprestasi serantau yang jelas didorong oleh enjin luarannya yang berdaya tahan dan permintaan domestik yang berkembang pesat.

"HSBC Global Research menjangkakan pertumbuhan 2023 menjadi sederhana kepada 4.0 peratus, ini terus menjadi kadar pertumbuhan yang sangat kukuh pada zaman ini," katanya dalam ucapannya pada forum tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata bagi organisasi-organisasi di negara ini untuk memperoleh kelebihan daya saing dalam era baharu dan untuk menarik beberapa pelaburan adalah penting bagi mereka untuk memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa mereka.

Ia akan menjadi faktor penting untuk membuka akses kepada prospek pertumbuhan dan pembangunan, katanya.

- Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan