S'pura setuju dedahkan butiran perpisahan dengan Malaysia

 


Singapura bersetuju untuk mengubah status dan mengeluarkan dokumen “Albatross File” yang terkenal, fail yang disimpan Dr Goh Keng Swee menjelang detik pemisahan Singapura dari Malaysia, kata Menteri Kanan Komunikasi dan Maklumat Dr Janil Puthucheary.

Dr Goh berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri Singapura antara 1973 dan 1985 dan diiktiraf secara meluas sebagai seorang daripada pengasas Singapura.

"Proses mengubah status dokumen itu telah bermula sejak beberapa lama dahulu dan mengambil sedikit masa disebabkan kerumitan bahan, manakala subset bahan itu adalah sebahagian daripada pameran awam," Puthucheary berucap pada Selasa semasa perbahasan peruntukan belanjawan bagi kementeriannya di Parlimen.

“Satu set dokumen Albatross mengenai pemisahan akan dikeluarkan dalam bentuk buku dan akan diterbitkan akhir tahun ini. Ini termasuk kertas kabinet dan nota Dr Goh mengenai perbualannya dengan pemimpin Malaysia,” kata Puthucheary.

Menteri itu juga memaklumkan kepada Parlimen bahawa sejak 2016, agensi kerajaan telah menyemak lebih 7,000 rekod kerajaan yang belum diubah status.

“Ini sebagai tindak balas kepada 2,130 permintaan orang ramai. Secara keseluruhannya, 83 peratus daripada rekod ini telah diluluskan untuk diakses. Secara keseluruhan, kira-kira 68,000 rekod fail telah diubah status dan boleh diakses oleh orang ramai,” katanya.

-Bernama

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan