Jumlah dagangan RM3 trilion tertinggi dalam sejarah, kata Anwar


KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia tahun lalu mencecah RM3 trilion, tertinggi dalam sejarah, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dijangka mengumumkan butiran lanjut hari ini.

“Trend perdagangan kekal positif dan ini pencapaian tertinggi dalam sejarah negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri ketika menjawab soalan tambahan Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung langkah kerajaan menguruskan pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan ketika tekanan perdagangan global serta ketegangan geopolitik semakin meningkat.

Anwar mengakui wujud perubahan geopolitik dan ketidaktentuan dasar, khasnya membabitkan Amerika Syarikat serta Eropah, selain perkembangan yang menjejaskan aliran perdagangan global.

“Ini adalah realiti yang mesti diambil serius.”

Tegasnya, kerajaan bertindak balas dengan memperluaskan pasaran, meneroka sektor baharu, termasuk teknologi baru muncul, di samping mengekalkan hubungan perdagangan jangka panjang dengan rakan utama seperti China.

Terdahulu, Anwar hari ini dilaporkan berkata, penunjuk ekonomi Malaysia terus menunjukkan kekuatan, dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025 – meningkat 13.2% berbanding tempoh sama 2024.

Katanya, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu dianggarkan pada 4.9%, melebihi unjuran rasmi kerajaan antara 4% hingga 4.8%.

“Bukan saja KDNK berkembang, prestasi ringgit adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun, sekitar RM4.05 berbanding dolar Amerika,” katanya sambil menambah indeks pasaran saham mencecah 1,700 mata, paras tertinggi dalam tujuh tahun.

Beliau berkata, kadar pengangguran pada November lalu turun kepada 2.9%, terendah dalam tempoh 11 tahun disebabkan kestabilan politik, kejelasan dasar serta kerjasama antara kerajaan, sektor awam, perniagaan dan pelabur.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan