Kamu sahaja keluar, Akmal beritahu pemimpin MCA kecam Zahid


PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencabar seorang pemimpin kanan MCA supaya mendesak parti itu keluar Barisan Nasional (BN) selepas pemimpin itu mendakwa Pengerusi Zahid Hamidi, merupakan ‘liabiliti terbesar’ gabungan itu.

Sebagai alternatif, beliau berkata, Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng sepatutnya keluar parti jika parti itu memutuskan kekal dalam BN.

Awal hari ini, Tan, yang juga ketua MCA Pulau Pinang, mengkritik Zahid kerana menarik balik kenyataannya mengenai kewujudan ‘Team B’ dalam DAP, yang menurutnya menunjukkan presiden Umno itu tidak layak terus menerajui BN.

Beliau berkata, tindakan Zahid merupakan satu penghinaan terhadap kredibiliti politik BN yang telah lama terbina, dan beliau sepatutnya berfikir terlebih dulu sebelum bercakap.

Dalam hantaran di Facebook, Akmal memberitahu Tan: “Jika anda fikir Pengerusi BN adalah satu liabiliti, maka anda patut cadangkan sahaja kepada MCA supaya keluar daripada BN.

“Jika MCA tidak bersetuju, kamu sahaja yang keluar dari MCA.

“Baru cakap serupa bikin apek, ni sembang tapi kamu sendiri pon tidak memberi manfaat kepada parti. Kamu bertanding pon kalah dengan majoriti besar, sembang kencang lah lu apek.”

Akmal turut berkongsi keputusan pilihan raya bagi kerusi pernah ditandingi Tan.

“Saya sertakan keputusan pilihan raya yang kamu bertanding, baru kamu boleh sedar siapa liabiliti yang sebenar.

“Kepada presiden MCA Wee Ka Siong, tolong bagi cermin pada dia ya nanti.”

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu, Zahid mendakwa pemimpin DAP yang menyerang bekas perdana menteri, Najib Razak, dan Akmal adalah sebahagian ‘Team B’ DAP, yang memberi gambaran wujudnya puak dalam parti berkenaan.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menafikan perkara tersebut dan menyatakan hanya ada satu sahaja ‘Team DAP’.

Ditanya mengenai kenyataan Loke, Zahid berkata beliau sedia menarik balik kenyataannya dan tidak berniat membayangkan wujudnya kem tertentu dalam DAP.

Beliau berkata, kenyataan ‘Team B’ itu hanyalah sekadar gambaran dan menambah: “Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu.”

Sebelum ini, MCA dan MIC terbuka mempertimbangkan keluar BN, dipercayai akibat diketepikan Umno sejak pembentukan kerajaan perpaduan.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan