Oleh Dr Norman Sapar -
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 sudah menutup tirainya, meninggalkan pelbagai resolusi, ucapan dasar dan penggulungan presiden yang padat dengan penegasan hala tuju serta perancangan masa depan.
Namun dalam landskap politik yang semakin kompleks dan rakyat yang kian kritikal, persoalan paling penting bukan lagi berapa banyak strategi diumumkan, tetapi adakah semua strategi itu tersusun dalam satu kerangka besar yang mampu membina semula kepercayaan rakyat.
Daripada keseluruhan wacana PAU 2025, satu kesimpulan jelas boleh dibuat; UMNO kini memerlukan strategi agung yang jelas, bersepadu, dan berkesan, iaitu membina kepercayaan rakyat.
Politik pasca PRU-15 menunjukkan perubahan drastik dalam corak sokongan rakyat, gabungan luar kebiasaan, dan pengundi yang semakin kritikal menilai tindakan parti. Dalam keadaan ini, UMNO tidak lagi boleh bergantung kepada gaya politik lama atau nostalgia perjuangan semata-mata.
Prinsip asasnya jelas; sokongan rakyat hanya hadir selepas kepercayaan dibina. Kepercayaan tidak boleh diminta, sebaliknya perlu diperoleh melalui konsistensi tindakan. Strategi agung UMNO wajar digerakkan melalui tiga teras utama yang saling melengkapi iaitu kejelasan politik, pembinaan kredibiliti dan pemulihan persepsi. Kegagalan satu sahaja teras akan melemahkan keseluruhan usaha membina keyakinan rakyat.
Kejelasan politik: kerjasama, naratif dan realiti
Cabaran paling utama ialah kejelasan politik, khususnya berkaitan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang membabitkan DAP. Isu ini bukan sekadar soal emosi, tetapi berkait rapat dengan prinsip dan persepsi.
Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, cukup matang untuk menerima realiti politik dan kompromi demi kestabilan negara. Namun mereka tidak menerima prinsip kabur, dan inilah punca kegelisahan yang masih wujud.
UMNO dilihat gagal memimpin naratif yang menjelaskan; sebab kerjasama itu perlu, batas yang tidak boleh dilanggar dan peranan sebenar UMNO dalam kerajaan.
Walaupun UMNO memegang garis merah mempertahankan agama, bangsa, dan Raja-Raja Melayu, kehadiran DAP dalam kerajaan masih menjadi penghalang psikologi utama kepada sokongan Melayu. Naratif seperti "UMDAP" terus hidup kerana pendekatan UMNO selama ini bersifat reaktif, bukan proaktif.
Membuka ruang penyatuan: realistik dan berprinsip
Presiden UMNO membuka ruang kepada bekas pemimpin, ahli dan individu atau blok baharu untuk menyertai parti, baik secara individu mahupun secara berkumpulan. Ini adalah langkah berani dan realistik, selaras dengan keperluan politik moden.
Tugasan yang diberikan kepada Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memurnikan pendekatan ini amat kritikal. Hal ini kerana, penyertaan baharu mestilah berteraskan prinsip perjuangan UMNO, komited kepada agenda rakyat dan kestabilan negara serta bersandarkan disiplin politik selari dengan hala tuju parti. Tanpa prinsip jelas, penyertaan baharu berisiko menimbulkan kekeliruan, bukan membina kepercayaan.
Membina kredibiliti: tindakan mengukuhkan kepercayaan
Strategi kedua ialah pembinaan kredibiliti melalui pengurusan isu. Di sinilah UMNO masih memiliki kekuatan tradisi yang sukar dinafikan. Pendekatan berkesan ialah mengakui kelemahan seterusnya mengambil tanggungjawab dan menawarkan solusi.
Contoh terbaik ialah isu Urban Renewal Act (URA) yang ditangani oleh Datuk Seri Johari Ghani. Berbeza dengan pendekatan reaktif sesetengah pihak, ia menunjukkan cara matang menangani isu yang memberi impak kepada rakyat.
Isu nasional boleh dibahagikan kepada kos sara hidup, integriti dan pembaharuan, kepimpinan dan calon, isu nasional strategik dan hal berkaitan rakyat setempat.
Prestasi kerajaan negeri yang diterajui UMNO seperti Johor dan Pahang wajar dihargai. Penyelesaian isu rakyat secara agresif di Johor dan pencapaian kutipan hasil Pahang melebihi sasaran membuktikan UMNO tetap relevan dan kompeten dalam mentadbir.
Memulihkan persepsi: digital sebagai barisan hadapan
Strategi ketiga ialah pemulihan persepsi, dengan fokus utama pada media sosial. Kepercayaan rakyat dibina setiap hari, bukan secara bermusim. UMNO tidak boleh bersikap senyap, defensif dan tidak konsisten.
Pendekatan digital berkesan perlu menekankan cerita lapangan yang asli, solusi praktikal untuk rakyat dan interaksi dua hala yang tulen.
Kelantangan Pemuda UMNO wajar, namun mesti berpaksikan adab, disiplin dan hikmah. Politik matang ialah politik solusi, bukan provokasi emosi. Ukuran kejayaan strategi digital juga bukan sekadar 'like' atau 'view', tetapi sejauh mana mesej itu menyentuh niat, keresahan, dan harapan rakyat.
Jadi, kesimpulannya strategi agung UMNO hanya akan berjaya jika ketiga-tiga teras dilaksanakan serentak dan konsisten: Kejelasan politik, kredibiliti melalui penyelesaian isu, pemulihan persepsi melalui 'engagement' berterusan. Ia mesti tiga daripada tiga, bukan satu atau dua. Dalam politik hari ini, kerja kuat tanpa kepercayaan hanyalah kerja sunyi. PAU 2025 sudah membuka laluan, tetapi cabaran sebenar UMNO ialah mampukah parti menempuh jalan sukar membina kepercayaan rakyat sebelum PRU-16?
* Penulis adalah penganalisis politik

0 comments:
Catat Ulasan