'Roadmap', posisi strategik 3 sayap bina keyakinan rakyat kepada UMNO


Oleh Hisyam Basabah

Ucapan perasmian serentak Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2025 malam kelmarin menarik dan mantap kerana ia tegas pada prinsip, jelas pada hala tuju serta praktikal pada pelaksanaan.

Pada masa sama, ia boleh dilihat sebagai satu manual pembinaan semula yang menegaskan UMNO perlu kembali relevan dengan pandangan jauh, bukannya nostalgia. Ketegasan 'garis merah', keperluan roadmap 24 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan gagasan UMNO sebagai parti digital umpamanya adalah satu gabungan visi, disiplin dan tindakan tersusun.

Penegasan Mohamad supaya 'jangan sesekali cabar garis merah (red line)' adalah mekanisme 'konsolidasi dalaman' dan 'isyarat politik luaran' serentak. Dari sudut kemantapan, penetapan tiga teras hak keistimewaan Melayu/Bumiputera, kesucian Islam dan kedaulatan Raja-Raja menjadikan UMNO kelihatan jelas pada garis prinsipnya dalam Kerajaan Perpaduan.

Ini penting kerana antara masalah persepsi besar UMNO pasca-PRU15 ialah tanggapan bahawa ia 'pak turut' apabila berada bersama rakan gabungan berbeza ideologi. Maka garis merah bertindak sebagai penafian terhadap persepsi itu serta satu bentuk 'jaminan identiti' kepada penyokong teras.

Dari sudut kerelevanan, mesej sebegini masih kuat dalam landskap Malaysia kerana politik identiti dan simbol institusi (agama-bangsa-Raja) kekal menjadi faktor mobilisasi, terutama dalam segmen pengundi Melayu tradisional dan separa urban. Ucapan ini juga menutup ruang salah faham, iaitu kerjasama politik bukan tiket untuk melunakkan prinsip.

Begitu juga kenyataan 'kita perlukan roadmap yang jelas dalam tempoh 24 bulan sebelum PRU16' menjadi diagnosis tepat terhadap situasi UMNO sekarang dengan masa singkat, struktur berat dan persaingan naratif sangat laju.

Seruan roadmap memberi isyarat UMNO perlu bergerak sebagai organisasi yang 'berteraskan misi', bukan sekadar bertahan dalam kerajaan atau bertempur di media sosial. Ia menjadi sangat relevan apabila Mohamad menamakan realiti demografi, iaitu pengundi muda yang besar, 'generasi tanpa nostalgia' dan mereka yang tidak mengundi atas sejarah. Saranan supaya 'berhenti jual sejarah, mulakan jual masa depan' juga kena pada masanya.

Satu lagi cadangan penting ialah cadangan digitilisasi besar-besaran hingga membayangkan 'UMNO-Digital' atau 'e-UMNO'. Dari segi kerelevanan, cadangan ini tepat kerana persaingan politik hari ini bukan hanya di ceramah fizikal, tetapi di ekosistem digital melalui algoritma, klip pendek, komuniti dalam talian, micro-influencers dan perang persepsi harian.

Kemantapan idea ini terletak pada keberanian mengakui hakikat, iaitu struktur tradisional (cawangan-bahagian-lapisan) tidak lagi cukup untuk menawan sokongan. Namun, cabaran terbesar ialah pelaksanaannya kerana 'parti digital' memerlukan sekurang-kurangnya empat pembaharuan, iaitu data pengundi sistematik, kandungan konsisten dan bersegmen, latihan komunikasi digital kepada jentera dan mekanisme pantas membalas isu (rapid response).

Arahan kepada sayap parti

Arahan operasi kepada sayap juga bahagian paling 'praktikal' dalam ucapan Mohamad. Wanita diberi peranan 'ejen ekonomi rumah tangga', Pemuda sebagai 'loceng kecemasan' dan 'pembangkang konstruktif' dari dalam kerajaan manakala Puteri sebagai 'jentera perang maya' dan unit risikan data.

Mandat Wanita untuk 'audit dapur rakyat' dan menjadi penyelesai masalah ekonomi adalah relevan dengan realiti kos sara hidup. Ini meletakkan Wanita bukan sekadar jentera pilihan raya, tetapi 'barisan hadapan kebajikan' yang boleh menghubungkan polisi kerajaan dengan penderitaan sebenar rakyat.

Jika dilaksana secara konsisten, ia boleh memulihkan kepercayaan akar umbi kerana rakyat cenderung mengingati siapa hadir ketika susah, bukan siapa paling lantang ketika berpolitik.

Mandat Pemuda sebagai 'pembangkang konstruktif' pula mengimbangi dua tuntutan, iaitu keperluan UMNO berada dalam kerajaan demi kestabilan dan keperluan menunjukkan keberanian menyanggah dasar yang menekan rakyat atau merugikan Melayu. Ini menjadikan Pemuda sebagai 'penyerap kejutan' dan 'injap tekanan' yang boleh menyerap kemarahan anak muda, sambil memberi UMNO posisi lebih aktif dalam kerajaan.

Mandat Puteri sebagai 'jentera perang maya' dan unit data secara langsung mengakui salah satu kelemahan UMNO, iaitu 'kalah di TikTok'. Kejujuran ini menjadikan arahan itu lebih relevan. Puteri juga diarahkan membawa isu yang dekat dengan generasi muda seperti kesihatan mental dan gaji bermaruah yang mampu mengembangkan imej UMNO daripada isu identiti semata-mata kepada isu kesejahteraan generasi.

Satu aspek penting mengukuhkan wibawa ucapan ini ialah disiplin kepemimpinan Tok Mat sendiri. Sepanjang ucapan, beliau tidak melangkaui Presiden UMNO, tidak membina naratif peribadi dan tidak meletakkan dirinya sebagai pusat kejayaan parti.

Sebaliknya, beliau bercakap dalam kerangka kolektif, mengenai UMNO sebagai institusi, mengenai peranan sayap dan mengenai tanggungjawab bersama menjelang PRU16. Dalam politik parti, sikap ini bukan kecil maknanya. Ia mencerminkan kefahaman mendalam terhadap hierarki, adab organisasi dan kesetiaan kepada struktur kepemimpinan.

Lebih signifikan, Mohamad tidak melaungkan kejayaan peribadi beliau sebagai Menteri Luar, walaupun rekod pencapaian diplomasi Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa - khususnya dalam kerangka ASEAN - jelas dan diiktiraf.

Penganjuran dan kepemimpinan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN, pengukuhan peranan Malaysia sebagai suara sederhana dan dihormati serta pengurusan hubungan kuasa besar yang seimbang adalah antara pencapaian besar beliau. Namun Mohamad memilih untuk tidak mempersonalisasikan kejayaan negara sebagai kejayaan diri.

Ia menghantar mesej halus tetapi kuat, bahawa kejayaan diplomasi negara adalah hasil kerja pasukan dan kepemimpinan kolektif kerajaan, bukannya alat untuk membina kultus individu.

Dalam konteks UMNO yang sedang membina semula keyakinan rakyat, sikap ini memberi nilai tambah yang besar kerana ia memposisikan Mohamad sebagai pemimpin berdisiplin dan tidak gopoh menuntut kredit politik.

Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan