Tadbir urus bersih aset berharga julang kredibiliti Malaysia


KETIKA Malaysia menempuh minggu awal 2026, arah politik dan ekonomi negara semakin terserlah. Naratif nasional tidak lagi digerakkan naik turun berita utama, sebaliknya dinilai berdasarkan keupayaan penjajaran strategik diterjemah kepada pelaksanaan konkrit.

Dasar luar kini diangkat sebagai instrumen utama kenegaraan ekonomi, politik gabungan pula sedang melalui fasa penyusunan semula, isu tadbir urus terus hangat dalam wacana awam dan pasaran kewangan mula membezakan antara pengumuman retorik dan penyampaian sebenar.

Perkembangan terkini membuktikan bagaimana semua jalur ini bersilang serta mengapa 2026 akan dinilai bukan atas dasar niat, tetapi berdasarkan keupayaan institusi melaksanakan dasar secara berterusan.

Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ankara dan Istanbul, Turkiye pada awal Januari menghasilkan pembentukan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC), mengangkat hubungan dua hala daripada pertemuan ad hoc kepada satu kerangka institusi merentas kementerian.

Langkah ini bukan sekadar simbolik ia dirangka secara sistematik bagi menyelaras aspek perdagangan, pertahanan, pelaburan, pendidikan dan teknologi strategik.

Bagi Malaysia, ini membuktikan dasar luar digunakan secara sengaja untuk memacu penyampaian ekonomi. Turkiye, sebagai kuasa pertengahan dengan kekuatan industri dan asas pertahanan yang berkembang, memberi Malaysia akses kepada rantaian nilai saling melengkapi, bukan sekadar urusan dagangan.

Isu Gaza angkat diplomasi Malaysia

Pendekatan bersama dalam isu kemanusiaan, terutama berkaitan Gaza, mengangkat diplomasi Malaysia berasaskan nilai, tanpa terperangkap dalam retorik kosong. Secara praktikal, pendirian moral ini menambah kredibiliti Malaysia dalam kalangan rakan kuasa sederhana, memperkukuh suara Kuala Lumpur perunding cara perdagangan secara mampan.

Dalam negara, landskap politik gabungan mengalami kejutan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam barisan pembangkang.

Di Malaysia, peralihan kepemimpinan bukan sekadar perubahan jawatan, tetapi mempengaruhi dinamik Parlimen, keselarasan mesej serta intensiti perbahasan dasar.

Pasaran tidak hanya tertumpu pada siapa menggantikan kepemimpinan, tetapi lebih kepada sama ada perpecahan dalaman akan bertambah. Pembangkang tersusun dapat memainkan peranan menyemak dasar secara profesional.

Sebaliknya, rundingan pelbagai kumpulan berpanjangan boleh menjejaskan kelancaran Parlimen dan meningkatkan ketidakpastian politik. Pada 2026, pelabur bukan sekadar menilai konflik, tetapi lebih sensitif terhadap unsur tidak boleh diramal.

Isu tadbir urus pula kembali menjadi tumpuan susulan perkembangan kes undang-undang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk pengurangan hukuman dalam satu kes berasingan.

Walaupun keputusan itu adalah bidang kuasa mahkamah, kesannya kepada ekonomi lebih bergantung kepada persepsi pasaran. Kini, tadbir urus menjadi faktor utama dalam model pelabur, mempengaruhi sentimen mata wang dan keyakinan terhadap projek jangka panjang.

Institusi stabil menjadi keutamaan pelabur. Ketika keputusan mahkamah berprofil tinggi mendapat liputan meluas, pelabur menilai sama ada institusi negara masih berfungsi secara telus dan berasaskan undang-undang atau terdedah kepada pengaruh politik.

Bagi mengekalkan kredibiliti, Malaysia perlu menjamin proses undang-undang bebas daripada tekanan politik jangka pendek. Dalam persekitaran serantau kompetitif, kredibiliti tadbir urus menjadi faktor pembeza utama antara destinasi modal.

Dari segi kewangan, ringgit menunjukkan pengukuhan menjelang tahun baharu. Keyakinan ini dipacu kestabilan makro, hala tuju reformasi konsisten dan mesej dasar meyakinkan.

Kekuatan ringgit memberi manfaat langsung seperti mengurangkan inflasi import dan beban hutang luar negara, namun ia juga memaksa penyesuaian daya saing. Eksport tidak lagi boleh bergantung pada kadar tukaran rendah sebaliknya bergantung pada produktiviti, kebolehpercayaan operasi dan teknologi perlu dipertingkatkan.

Ringgit kukuh pemangkin ekonomi

Dalam konteks ini, mata wang kukuh menjadi pemangkin disiplin ekonomi, bukan sekadar petunjuk kejayaan.

Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) turut menekankan kestabilan dasar negara sebagai kelebihan strategik. Dalam dunia semakin tidak menentu akibat ketegangan geopolitik dan perubahan aliran perdagangan, dasar monetari kukuh membolehkan perancangan jangka panjang lebih yakin.

Namun, dasar monetari tidak mampu mencipta pertumbuhan sendirian. 2026 menyaksikan pertumbuhan hanya dinikmati negara mampu menukar pelaburan diluluskan kepada pengeluaran sebenar, memperkemas logistik dan membina modal insan berkualiti.

Saluran Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia kekal aktif dengan modal asing menguasai sektor perkhidmatan. Tetapi kelulusan hanyalah petunjuk kepercayaan sedangkan pelaksanaan penentu kejayaan.

Persediaan tanah, bekalan utiliti, pelesenan dan tenaga kerja mahir adalah cabaran sebenar. Kekangan ini, bukan permintaan global yang kini menjadi faktor dominan.

Di arena serantau, diplomasi ASEAN terutama mengenai Myanmar terus mempengaruhi persepsi pelabur. Kredibiliti Malaysia sebagai peneraju dalam ASEAN menambah nilai bukan hanya secara diplomatik tetapi terhadap penilaian risiko pelaburan dan kestabilan rantaian bekalan.

Cabaran utama Malaysia pada 2026 bukan ketiadaan visi, tetapi disiplin pelaksanaan. Dengan dasar luar dimanfaatkan sepenuhnya, kestabilan makro terpelihara dan pelabur masih optimis, mampukah institusi kerajaan menterjemah strategi kepada hasil konsisten, telus dan tepat waktu.

Penulis adalah Penganalisis politik dan ekonomi

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan