Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
Untuk apa Pakatan Harapan (HARAPAN) bertanding pada pilihan raya umum
(PRU) ke-14? Semata-mata menentang BN agar tidak memberikan laluan
mudah untuknya mengawal Putrajaya, atau cuma test market sebagai
mempersiapkan diri menyertai PRU ke-15?
Atau HARAPAN - yang
kini dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (BERSATU) - memang bertekad tinggi, mahu menjatuhkan
BN dan seterusnya memerintah Malaysia?
Sejarah membuktikan bahawa
pakatan pembangkang - sebutlah apa nama dan bila pun - tidak pernah
berjaya menewaskan BN untuk membentuk kerajaan di pusat.
PAS
yang sebelum ini menyertai Angkatan Perpaduan Ummah menang di Kelantan
sejak 1990 dan kemudian - bersama Pakatan Rakyat - di Kedah dan
Terengganu, tetapi tetap seperti parti pembangkang lain, tidak mempunyai
kekuatan untuk menjatuhkan BN.
DAP yang berjuang begitu lama
dan kemudian disertai oleh PKR juga gagal menundukkan BN sejak 1999,
walaupun PKR bertapak dengan teguh di Selangor. DAP pula kekal di Pulau
Pinang.
Apabila adanya HARAPAN bersama dua muka baru iaitu
AMANAH dan BERSATU, ditambah senario semasa politik di bawah kepimpinan
Datuk Seri Najib Razak, ia membawa harapan baru.
Tetapi sekali lagi beberapa persoalan timbul, umpamanya:
1. Di sebalik menyebut mahu menumpaskan BN/Najib, PKR berterusan
dengan pejuangan mahu menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
perdana menteri walaupun tahu sejauh mana kekuatan sebenar mereka;
2. DAP sedar, sukar untuk pemimpinnya menjadi perdana menteri kerana kekangan perlembagaan dan persetujuan pihak istana;
3. AMANAH yang peranannya agak terhad dan dilihat hanya ‘bergema’ di
Kelantan bagaikan menyertai pilihan raya akan datang untuk ujian awal
semata-mata sebelum tampil lebih kukuh pada PRU ke-15; dan
4.
Hanya PPBM jelas dengan misi mereka untuk menumbangkan BN dan mahu
menggerakkan HARAPAN untuk menggantikan BN di Putrajaya.
Berikutan BERSATU begitu jelas matlamatnya, banyak pihak bimbang BN akan
jatuh. Bagi yang mempunyai perasaan takut Anwar tidak menjadi perdana
menteri jika BERSATU menjadi dominan, mereka berusaha untuk menggagalkan
usaha ini.
Maka timbullah berbagai persoalan yang sengaja
dibuat untuk mengeruhkan HARAPAN termasuk isu kononnya BERSATU mahu
memimpin gabungan itu.
Logiknya Umno dicabar BERSATU
Ia dikatakan dibuat bagi menjayakan rancangan menggagalkan sokongan pengundi Melayu-Islam pada PRU akan datang.
Berbagai cerita direka, manakala realiti tidak diteliti demi menolak
hasrat BERSATU yang berusaha memainkan peranan yang kurang dilaksanakan
parti lain dalam HARAPAN sebelum ini.
Maka timbullah pendapat
kononnya idea BERSATU mahu mencetuskan "tsunami Melayu" akan menggoncang
dan memecahkan HARAPAN meski pun ada mempercayainya sebagai kunci untuk
menumbangkan BN pada PRU akan datang.
Rasionalnya, BERSATU
ditubuhkan bagi menggantikan Umno. Bermakna di mana kerusi yang
dimenangi Umno - kerusi parlimen atau dewan undangan negeri (DUN) -
sewajarnya ditandingi BERSATU.
Dengan kata lain, BERSATU tidak
akan mengganggu kerusi yang dimenangi PKR atau PAS kerana faham ia
masing-masing diperuntukkan kepada PKR dan AMANAH.
DAP pula memang terlepas daripada tuntutan bertindih kerana memang bertanding di kerusi majoriti bukan Melayu dan bukan Islam.
Berdasarkan kedudukan kerusi yang dimenangi oleh Umno ketika ini, ia berjumlah 88 daripada 112 kerusi dipertandingkan.
Tidakkah logik jika Umno dicabar oleh BERSATU - di sekurang-kurangnya
80 lokasi - dengan membiarkan kerusi lain di Sabah dicabar Parti Warisan
Sabah?
Apakah BERSATU sudah menghebohkan berapa kerusi akan ditandinginya seperti dilakukann oleh PKR dan AMANAH? Jawabannya: belum.
Belajar daripada DAP
Dengan kedudukan jumlah kerusi Umno itu, tidakkah ini menggambarkan
kemungkinan BERSATU akan bertanding kerusi yang dijangka akan dimenangi
paling banyak?
Apakah ini boleh diterjemahkan bakal menjadikan BERSATU dominan dalam HARAPAN?
Berapa pula kerusi yang mahu ditandingi oleh PKR dan AMANAH?
Berdasarkan keputusan PRU ke-13 PKR menguasai 30 kerusi (daripada 99
kerusi yang ditandingi) manakala AMANAH kosong. Walaupun mereka
mempunyai enam wakil di Dewan Rakyat, ia dimenangi atas tiket PAS.
Namun ini tidak bermakna tiada langsung rundingan boleh dibuat. Di
mana dirasakan peluang menang adalah seimbang antara PKR, AMANAH, DAP ia
boleh diputuskan secara musyawarah.
Justeru mengembar-gemburkan isu BERSATU mahu menjadi dominan dalam HARAPAN tidak perlu diluahkan di luar.
Belajarlah bagaimana DAP mampu memenangi hati pengundi Melayu dan
bukan Melayu dan membawa hasilnya sangat membanggakan apabila memenangi
38 daripada hanya 51 kerusi yang ditandinginya.
Perundingan
masih berlangsung bagi menentukan struktur kepimpinan HARAPAN dan ia ada
kaitan dengan isu logo, manifesto dan akhirnya kerusi.
Soal siapa menjadi perdana menteri juga bukan sesuatu yang wajar dibahaskan secara terbuka oleh semua orang.
Ia perlu dikaitkan dengan misi mahu menjatuhkan BN atau mahu mengutamakan parti masing-masing.
Persoalan yang juga penting ialah, siapa wajar menerajui HARAPAN?
Apakah peluang HARAPAN menang menjadi lebih besar jika Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng
akan menjadi peneraju utamanya?
Apakah rakyat khususnya orang
Melayu yakin dengan kemimpinan utama PKR, AMANAH atau DAP untuk
menerajui HARAPAN menumbangkan Najib?
Banyak pihak mengatakan
jika PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui HARAPAN, orang Melayu akan
berasa lebih yakin dan ‘tsunami Melayu’ akan berlaku.
Dibantu
kekuatan yang ada pada PKR dan sokongan bukan Melayu dan bukan Islam
daripada DAP dan AMANAH, BN akan berdepan gelombang yang mampu
menghanyutkan mereka.
Ketika ini seeloknya jangan dipertikai
parti mana menjadi dominan, atau kepimpinan bentuk apa wajar diwujudkan
dalam HARAPAN. Paling penting, gerakan hendaklah dijuruskan kepada
menjatuhkan BN dan Najib.
Jika semua parti dalam HARAPAN
mempunyai kepentingan masing-masing dan masih bernostalgia dengan
sejarah, ia tidak akan membawa gabungan itu ke mana-mana.
HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini menjadi
perunding media bebas. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan
tidak semestinya menggambarkan sikap Akhbar Rakyat
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan