Oleh Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir
1. PERSATUAN
Ulama Malaysia (PUM) merasa dukacita terhadap krisis yang sedang
berlaku di rantau Teluk Arab, yang mana beberapa negara Teluk termasuk
Mesir dan Maldives telah memutuskan hubungan diplomatik dan mengenakan
sekatan udara, laut dan darat terhadap Qatar.
2. Dalam
perkembangan semasa yang berlaku, PUM turut terkejut dengan
penyenaraian seorang tokoh ulama terkemuka iaitu Prof Dr Yusuf
al-Qaradawi dalam senarai pengganas.
3. Penyenaraian ini seperti
mengikut tindakan Mesir yang pernah menyenaraikan al-Qaradawi dalam
senarai pengganas pada tahun 2014 dan meminta bantuan Interpol untuk
menahannya.
4. Begitu juga dengan penyenaraian
pertubuhan-pertubuhan yang banyak memberikan bantuan kepada pembangunan
umat Islam di seluruh dunia, sebagai sesuatu yang di luar jangkaan dan
tidak menguntungkan umat Islam.
5. Sehubungan dengan itu, PUM
merasakan adalah keterlaluan untuk menyenaraikan al-Qaradawi sebagai
pengganas. Sementelahan umum mengetahui sumbangan beliau yang cukup
banyak dalam mengarang pelbagai kitab yang menjadi rujukan umat. Beliau
juga seorang tokoh yang sentiasa mendapat pengiktirafan di peringkat
antarabangsa dengan pelbagai anugerah, termasuklah anugerah Tokoh Maal
Hijrah.
6. Oleh yang demikian, PUM meminta supaya semua pihak
agar dapat menjaga tokoh ulama ini dan tidak mengambil tindakan
menyamakan beliau dengan pengganas yang bertindak di luar daripada
batasan agama.
7. PUM sentiasa bersikap konsisten dan jelas dalam
menyokong sebarang bentuk tindakan untuk menangani keganasan yang
mengancam keselamatan, seperti IS (Daesh), dan lain-lain. PUM juga
turut sama mengutuk serangan di Manchester dan London, dan di beberapa
negara lain.
8. Kita melihat bahawa berdasarkan trek rekod
sebelum ini bahawa al-Qaradawi bukan pengganas dan dalam masa yang sama
beliau konsisten menentang Zionisme. Menentang zionisme ini bukan
suatu dosa, bahkan ianya adalah untuk menuntut hak terhadap masyarakat
Palestin yang tertindas.
9. Di dalam salah sebuah kitabnya yang
bertajuk: al-Quds fi al-Wa’yi al-Islami, beliau menjelaskan bahawa kita
tidak menentang zionis Israel disebabkan ianya Yahudi, tetapi kita
menentang zionis Israel kerana ia telah merampas tanah Palestin untuk
mewujudkan sebuah negara untuk Yahudi di atas tanah Palestin.
10.
Tambahan pula, pada tahun ini Palestin menyambut 50 Tahun Naksah,
iaitu penjajahan Yahudi terhadap Jerusalem Timur (Baitul Maqdis) pada
tahun 1967. Begitu juga, tahun ini merupakan genap 100 Tahun
kesengsaraan penjajahan ke atas Palestin yang didasari sokongan kuasa
besar dunia melalui dokumen penting Deklarasi Balfour 1917 yang
memberikan izin untuk Yahudi menubuhkan negara di Palestin.
11.
PUM turut ingin menegaskan bahawa kelompok yang tidak bersetuju dengan
zionis iaitu Hamas dan Ikhwanul Muslimin bukanlah pendokong keganasan,
sebaliknya mereka merupakan kumpulan pro-demokrasi. Kemenangan Hamas di
Gaza dalam pilihanraya 2006 adalah melalui demokrasi.
Begitu juga
kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada tahun 2012 adalah juga
melalui proses demokrasi. Namun, kemenangan mereka ini dinafikan
barangkali disebabkan pendirian mereka yang membela rakyat Palestin dan
tidak menyokong Israel.
12. Adalah tidak wajar untuk menyekat
sebarang bentuk sokongan kepada mana-mana kumpulan Islam yang ingin
mempertahankan hak dan bergerak dalam kerangka demokrasi hanya
semata-mata tunduk kepada kehendak kuasa besar dunia.
13.
Justeru, bagi menyelesaikan krisis terkini negara Teluk ini, PUM
menggesa supaya ianya ditangani secara diplomasi dengan semua pihak yang
terlibat. Beberapa pendekatan boleh digunakan, seperti:
a. Para
pemimpin negara Islam perlu berganding bahu dengan para ulama’ dari
seluruh dunia untuk bertindak tanpa mengira latar belakang bagi
meredakan keadaan dan menyelesaikan konflik ini.
b. Rundingan di
antara negara-negara yang terlibat mesti dipercepatkan untuk mencari
jalan penyelesaian terbaik. Penyelesaian secara diplomasi dan rundingan
adalah lebih baik agar sebarang bentuk tindakan ketenteraan atau
seumpama dengannya dapat dielakkan.
c. Di peringkat negara Islam,
pertubuhan OIC tidak boleh berdiam diri, mereka mesti berperanan dan
seharusnya tidak menunjukkan berpihak kepada mana-mana negara yang
terlibat dalam menyelesaikan rundingan ini.
14. Marilah kita
bermunajat di dalam bulan Ramadan yang mulia ini supaya krisis ini akan
segera tamat dan umat Islam kembali bersatu dalam menentang musuh
sebenar.
Sekian, terima kasih.
Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir
Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan