Surat terbuka untuk pemimpin pembangkang Malaysia

Oleh Mahmoud Kitoum

 SURAT ini ditujukan untuk semua pemimpin parti pembangkang di Malaysia termasuk PAS walaupun PAS sendiri tidak tahu dan tidak jelas adakah mereka pembangkang atau mesra kerajaan atau blok ketiga di Tanjung Rambutan.

Untuk pemimpin PAS, saya tiada perkataan yang baik untuk parti anda. Jadi mengikut arwah ibu saya, jika tiada perkataan yang baik untuk diluahkan maka lebih elok diam saja. Cuma saya berpendapat parti anda sudah ke laut, sama seperti hobi tuan presiden anda.

Untuk pemimpin Bersatu, walaupun parti anda masih baharu tetapi nafsu anda membuak-buak untuk menjadi perdana menteri Malaysia lebih gelojoh daripada parti lama anda, Umno yang sudah merogol dan meliwat negara ini selama hampir 60 tahun.

Dengan bekas perdana menteri yang merosakkan segala perundangan negara selama 22 tahun, anda berharap orang ini akan memimpin aspirasi anak muda?

Dengan bekas timbalan perdana menteri yang tidak berani melawan pahlawan Bugis dari Pekan yang busuk dengan korupsi, anda fikir orang ini mampu berdepan dengan kuasa luar yang sedang membeli Malaysia dengan rakusnya?

Dengan bekas menteri besar Kedah yang dilahirkan dengan "sudu perak" dan "dulang emas", anda fikir orang ini mampu merasai kesusahan marhaen yang tidak cukup wang untuk membeli susu bayi dan bekal anak sekolah?

Untuk anda semua, berhentilah daripada dunia politik Malaysia kerana tiada siapa pun yang memerlukan bantuan anda.

Untuk Mukhriz Mahathir, masa anda lebih elok digunakan untuk menambah kekayaan keluarga anda.

Untuk Muhyiddin, gunakan wang yang anda kumpul; secara sah atau tidak sewaktu menjadi menteri besar Johor untuk kebaikan fakir miskin.

Untuk Dr Mahathir Mohamad, negara ini tidak lagi memerlukan anda, cukuplah 22 tahun kami dirogol dan diliwat, anak cucu anda mungkin tidak mempunyai masa yang lama lagi untuk bermain dan bermesra dengan anda. Luangkan masa yang masih berbaki untuk mereka. Itu lebih berfaedah.
Untuk pemimpin Pakatan Harapan, sampai bilakah anda harus faham untuk memerintah Malaysia anda harus tumbangkan Umno bukan PAS?

Lupakan mereka dan kisah lama yang indah sewaktu berumah tangga dengan PAS dulu. Anda tidak layak memerintah Malaysia kerana tidak berjiwa besar dan amat mudah beremosi dengan serangan nyamuk yang kecil.

Jika mereka yang gila talak pun tidak mampu anda tangani, adakah anda mampu tangani masalah kelaparan dan kesusahan rakyat?

Untuk pemimpin DAP, yang terlalu biadab dan tidak berhenti-henti membodohkan Melayu, sampai bila anda harus sedar anda memerlukan undi Melayu untuk memerintah Malaysia?

Cukuplah dengan kedangkalan video murahan Teresa Kok. Cukuplah dengan kesombongan Lim Guan Eng walaupun hanya memerintah sebuah pulau yang kecil. Cukuplah dengan kebejatan Lim Kit Siang yang membangkang segala apa pun tanpa mendatangkan apa-apa faedah.

Dan nombor 4 dikhaskan untuk kamu kerana ia bermakna mati dalam dialek Tiong Hua; parti kamu yang akan mati dulu sebelum kamu dapat melihat Umno jatuh kerana kebobrokan dan kedegilan kamu sendiri.
Untuk pemimpin PKR, sampai bila perjuangan parti kamu berpaksikan atas seorang manusia dengan melupakan masalah rakyat Malaysia yang lain? Ya, saudara Anwar Ibrahim merupakan ikon kebebasan.

Tetapi, hakikat pahit yang harus ditelan ialah Anwar di dalam penjara.  Adakah kamu merasa tiada manusia lagi di Malaysia ini yang mampu menggalas tanggungjawab besar sebagai perdana menteri Malaysia?

Jikalau Abdullah Badawi yang tidur sepanjang memerintah Malaysia mampu bertahan empat tahun, saya berpendapat ramai lagi insan di luar penjara yang mampu menjalankan tugas ini.
Cukuplah, diletakkan Dr Wan Azizah Ismail di mana-mana kawasan Parlimen atas alasan menjaganya bagi Anwar. Kami tidak memerlukan boneka, kami perlukan manusia.
Cukuplah kamu mengamalkan nepotisme dalam parti kamu dengan meletakkan mereka yang berbinkan Anwar dalam jawatan penting.

Mereka ini tidak layak jika tidak berbinkan Anwar. Cukuplah anak emas Anwar, Azmin Ali menggunakan segala syarikat kerajaan negeri Selangor untuk mencari wang bagi tabung parti kamu seperti permainan politik Umno.

Cukuplah kamu mangsakan pemimpin kamu sendiri untuk melindungi kepentingan seorang insan. Cukup!

Untuk semua pemimpin pembangkang Malaysia, kami tidak memerlukan kamu. Kamu bukan aspirasi kami. Kamu bukan harapan kami. Bahkan dengan kamu yang meniru segala permainan Umno/BN kamu merosakkan peluang kami anak muda untuk melihat Malaysia baharu.

Rakyat Malaysia yang inginkan kepada perubahan. terhalang oleh kedangkalan politik perkauman dan agama walaupun kamu sendiri membenci politik perkauman dan agama Umno.

Adakah kamu berfikiran waras dengan meniru segala apa yang Umno/BN amalkan selama 60 tahun, kamu berpeluang mengalahkan Umno/BN?

Kamulah masalah pada Malaysia, bukan penyelesaian. Undur!
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan