Oleh Azmil Amri
RAMADAN masuk separuh masa pertama. Purnama di langit malam menjadi
saksi amal soleh umat Islam tahun ini, dalam usaha besar untuk mencari
keredaan Tuhan. Ramadan mengajarkan umat Islam tentang peri pentingnya
sifat takwa; sesuai dengan dalil Al-Quran pada ayat 183 surah
Al-Baqarah.
Pun
begitu, hari demi hari kita melihat bagaimana umat Islam khususnya di
Malaysia tidak menemukan takwa, meski seharian menahan lapar dan dahaga,
selain menjaga deria daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Takwa diperjelaskan oleh Ubay bin Ka’ab ketika ditanya oleh Umar
Al-Khattab tentangnya dengan begitu cemerlang sekali. Ubay bertanya
kepada Umar, “Adakah kamu pernah melalui jalan yang penuh duri?”
Umar menjawab ya, lalu Ubay bertanya kembali, “Bagaimana kamu melalui jalan yang penuh duri itu?”
Umar menjawab, “Dengan penuh berhati-hati, supaya tidak terpijak duri.”
Ramadan memang bertujuan mendidik umat Islam supaya berhati-hati agar
tidak melakukan perkara yang boleh mencacatkan ibadah puasanya.
Sifat takwa yang dididik melalui "madrasah" Ramadan bukanlah supaya
kita takut kepada Tuhan kerana adanya neraka, tetapi kerana rasa
"bertuhan". Ramadan mendidik menyemai rasa berhati-hati dalam perjalanan
penuh ranjau menuju apa pun juga tujuan kita dalam beragama; merasa
cukup dengan apa yang ada, dan lebih penting lagi, menyemai rasa kasih
sesama manusia.
Kerana meski takwa itu sifat yang berkait langsung dengan Tuhan,
sifat takwa seharusnya wajar diterjemahkan kepada kehidupan sehari-hari
dalam hubungan sesama manusia. Menjauhi tabiat mengumpat, mendidik
sabar, menahan nafsu amarah dan sebagainya adalah perlakuan yang memberi
kesan langsung kepada lingkungan teman dan sanak saudara.
Ramadan dan puasa adalah pendidikan sosial yang mengajarkan erti
berlapar, tidak terlunas hajatnya, serta erti hidup saling berbudi
kepada sesama makhluk.
Ramadan bukan sekadar peluang untuk berbuat baik kepada mereka yang
lebih memerlukan, menganjurkan majlis makan-makan dan bantu-membantu
untuk satu tempoh singkat saja. Ia bahkan penting dalam mendidik empati
masyarakat terhadap lingkungan yang lebih besar.
Malang bagi kita, Ramadan di Malaysia saban tahun dihujani hal
mengarut yang tersasar daripada makna dan tujuan sebenar ia menjadi
bulan ibadah dan mendidik jiwa.
Ramadan tahun ini disambut dengan acara lempang-melempang, maki-hamun
dan kegilaan membeli tudung mahal. Bukan saja itu, ia menjadi pesta
untuk bertanding siapa lebih Islam, siapa lebih beriman dan siapa lebih
hebat bertuhan.
Melebih-lebih dalam beragama
Tidak ada langsung dipamerkan sifat takwa dan qana’ah (merasa cukup
dengan apa yang ada) apatah lagi wasatiyah. Sebaliknya giat ditayang
sikap tatharruf (berlebih-lebihan) dalam setiap satu gerak geri
sepanjang menjalani ibadah puasa, hatta ketika membeli juadah berbuka,
malah ketika berebut mahu ke masjid untuk solat tarawih.
Di luar negara pula, kita digemparkan dengan serangan di beberapa
tempat atas nama Tuhan dan agama. Banyak nyawa yang tidak bersalah
menjadi korban amarah golongan yang mahu berebut syurga dengan wasilah
politik dan daulah. Taqwanya entah hilang celah mana.
Umat Islam, baik di Malaysia atau di luar sempadan negara secara
dasarnya punya masalah pembelajaran. Atas sebab itu, kita selalu gagal
mengambil pelajaran daripada madrasah Ramadan dan menghabiskan usia
melakukan perkara sia-sia yang tidah membawa kebaikan kepada diri apatah
lagi manusia lain.
Contoh paling gagal ini kita boleh temukan dalam insiden mengarut di
depan Masjid Simpang Enam Pulau Pinang, berhadapan bangunan pentadbiran
kerajaan negeri di Komtar.
Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang Mohd Hafiz Noordin dalam
perhimpunan kecil selepas solat Jumaat sehari sebelum Ramadan itu
dilaporkan berkata sekiranya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
mahu turut serta dalam acara berbuka puasa, beliau perlu masuk Islam.
“Kita nak berpuasa daripada kekufuran. Kita nak baiki diri daripada berketuakan kafir macam DAP ini.
“Kita nak minta Guan Eng berhenti buka puasa. Kalau betul nak buka puasa, masuk Islam. Jangan main-main agama kita,” katanya.
Kita semua tahu ini adalah aksi politik merepek yang cuba dilakukan
golongan gagal ini semua untuk membingkai Guan Eng dan pastinya DAP
serta sekutunya sepertimana serangan yang dilancarkan tehadap bekas
calon gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama oleh gerombolan Aksi Bela
Islam di negara jiran.
Basuki, atau nama Hakkanya Ahok, dijatuhkan hukuman dua tahun penjara
atas tuduhan menghina Islam. Apa yang terjadi kepada Ahok, seorang
pemimpin Cina Indonesia, sedang cuba dilakukan terhadap pimpinan bukan
Islam di Malaysia dan Lim adalah sasaran paling mudah.
Dengan melecehkan Lim, membingkainya sebagai seorang yang anti
Melayu-Islam, momentum sedang dibina menuju pilihan raya yang bakal
menyaksikan sentimen kaum dan agama menjadi peluru utama parti
pemerintah dalam usaha untuk mengekalkan kuasa.
Tahun 2011, pentadbiran Lim juga menjadi sasaran serangan perang
agama di bulan Ramadan apabila muncul tuduhan Pulau Pinang melarang
laungan azan. Fitnah itu terus dikitar semula, dan kini dikumpul bersama
fitnah lain bagi mewarnakan watak utama pimpinan parti pembangkang
sebagai syaitan dan musuh umat Islam.
Anda mungkin fikir ini jihad dalam usaha membangun daulah mengikut
acuan anda. Hakikatnya, ini semua kerja jahat yang menghalang perubahan
dan mengekalkan negara dalam keadaan ditadbir para kleptokrat yang kini
anda cuba mendekat untuk dedak sebakul dua.
Lebih mengarut lagi, orang yang menentang tafsiran merepek anda terhadap agama pula habis dikafirkan semuanya.
Maka sekarang pak lebai gila, kami semua mahu tanya: Kalau kami ini
semua kafir dari sudut pandang anda, adakah wajib kami berpuasa?
* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal
dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk
kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan