PAS nak lawan? Elok tinggalkan Selangor

Oleh Syed Badli Shah 

PAS Selangor yang mengumumkan jenteranya kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum di Selangor dengan slogan “Menerajui Kesejahteraan Selangor” ibarat seperti mahu merencatkan rencana untuk memperkukuh kerajaan negeri Selangor yang turut dianggotai PAS.

Pengerusi PAS Selangor Sallehen Mukhyi mengulangi sekali lagi kesediaan PAS untuk bertanding di 42 kerusi DUN di Selangor termasuk di kerusi PKR dilihat sebagai langkah tempang untuk memperkukuh kerajaan sedia ada malah memberi kelebihan kepada Umno dan BN apabila pertembungan tiga penjuru berlaku.

Apakah niat PAS sebenarnya? Adakah PAS sengaja mahu beri ruang kepada Umno dan Barisan Nasional kembali berkuasa di Selangor?

Dengan mengumumkan secara terbuka kesediaan PAS untuk bertanding di 42 kerusi DUN, ini bermakna PAS bersedia untuk bertembung tiga penjuru.

Jika benar PAS mahu bertembung pada pilihan raya akan datang dan tidak berniat untuk mempertahankan kerajaan sedia ada, saya kira PAS sudah tidak relevan untuk terus kekal berada dalam kerajaan negeri Selangor.

Seharusnya semua pemegang jawatan PAS dalam kerajaan negeri Selangor sekarang melepaskan jawatan mereka berikutan kesediaan mereka untuk bertembung tiga penjuru.

Di kala ini kita bekerjasama berdasarkan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum lalu. Namun kerjasama ini akan berakhir apabila PAS bersedia untuk bertembung pada pilihan raya akan datang.

Jika agenda rakyat masih menjadi pilihan PAS, pertembungan satu lawan satu adalah jalan terbaik. Rendahkan ego dan kembali ke meja rundingan. Namun sebaliknya jika PAS mahu gadaikan Selangor kembali ke tangan BN, maka PAS adalah musuh yang nyata.

Semoga agenda rakyat terus dipertahankan melalui Pakatan Harapan. Perkemaskan jentera dan siap siaga menghadapi musuh yang nyata.

* Syed Badli Shah Syed Osman adalah setiausaha Angkatan Muda PKR Selangor
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan