Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengesahkan akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) dengan pendirian dan strategi sendiri bersama-sama Gagasan Sejahtera (GS) serta bersedia untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) atau kedua-duanya di mana-mana kawasan yang bakal ditandingi.
Sehubungan itu PAS menegaskan bahawa sebarang pandangan atau ulasan yang dibuat oleh mana-mana individu, sama ada dari luar mahupun dalam PAS, yang membawa maksud kononnya wujud atau akan wujud Kerajaan Campuran (UG) antara PAS dengan BN adalah bersifat peribadi dan hipotetikal semata-mata, tidak sama sekali mewakili pandangan atau pendirian PAS dan GS.
PAS juga mengesahkan sekali lagi bahawa tidak ada sebarang
perbincangan atau keputusan di mana-mana peringkat Parti untuk
menubuhkan Kerajaan Campuran (UG) dengan BN ataupun PH dalam konteks PRU
14, sama ada sebelum mahupun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
Dalam pada itu, perlu juga ditegaskan bahawa PAS tetap mengekalkan
amalan budayanya untuk membuat sesuatu keputusan penting termasuk isu
kerjasama ataupun tahaluf siyasi dengan mana-mana
pihak secara demokratik dengan mendapat persetujuan ahli-ahli terlebih
dahulu melalui satu Muktamar Khas sebelum ia disahkan oleh Majlis Syura
Ulamak dari sudut kepatuhan Syarak.
Dalam menghadapi PRU 14, PAS berpandangan rakyat tidak seharusnya
dihadkan dengan pilihan umpama ‘hitam dan putih’ antara BN dan PH sahaja
tanpa mengira aspek benar atau tidak kedua-duanya, sebaliknya mereka
perlu diberikan hak untuk membuat pilihan-pilihan lain termasuk PAS/GS
tanpa perlu dipaksa atau ditakutkan tentangnya.
Terimakasih
DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung

0 comments:
Catat Ulasan