Oleh Arif Atan
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyelar sikap pimpinan Pas yang
berdolak-dalih untuk menentang Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU-14) berbeza dengan Pakatan Harapan yang konsisten melawan parti
pemerintah diterajui Najib Razak itu.
Menurutnya, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
sentiasa berubah tentang jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi
mengundang kehairanan.
“Presiden Pas kata kami bukan nak berkuasa, sekejap dia kata kami nak kuasa, sekejap lagi dia kata, kami mahu 40 kerusi saja.
“Sekejap kata mahu bertanding 130 kerusi. Kita pun hairan. Kalau tidak mahu kuasa, tidak usah bertanding.
“Kalau nak ambil 40 kerusi, bertandinglah 40 (kerusi),” bidas bekas
Timbalan Presiden Pas itu dalam ceramah umum sempena perasmian Pejabat
AMANAH Jeli, Kelantan semalam.
Sebaliknya, beliau menegaskan Pakatan Harapan melalui gandingan
AMANAH, Bersatu, PKR dan DAP akan meletakkan calon di kesemua 222 kerusi
Parlimen di seluruh negara.
“Bagi Pakatan Harapan, kita nak ambil alih kuasa. Orang kata kami
gila kuasa. Betul kami gila kuasa sebab kami mahu ambil kuasa daripada
orang gila. Sebab itu kita masuk pilihan raya sebab nak kuasa.
“Kami (Pakatan Harapan) mahu bertanding di kesemua 222 kerusi di seluruh Malaysia iaitu rakan kami, Warisan bertanding di Sabah.
“Kita nak hadapi BN di 222 kerusi. Soal menang atau kalah itu perkara
lain tetapi hasrat untuk berkuasa tetap ada kepada kita (Pakatan
Harapan). Hasrat untuk berkuasa tetap ada,” ujarnya.
Menyentuh tentang kewujudan AMANAH sejak dua tahun lalu, Mohamad yang
mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pendukung dan ahli parti
dengan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamn itu istiqamah melawan kemungkaran.
“Kita daripada parti AMANAH kebanyakannya dulu dari Pas, inilah kumpulan yang istiqamah melawan kemungkaran. Bukan puak mereka.
“Kita terus berpegang pada perjuangan menentang kemungkaran dan menegakkkan kebenaran walau di mana kita berada.
“Kita tidak boleh sekejap kata perjuangan kita nak ambil alih
Malaysia. Sekejap kata kita boleh terima Datuk Seri Najib sebagai
perdana menteri.
“Sekejap kata kami tak kemaruk kuasa. Sekejap kata kami nak kuasa,” tegas Timbalan Presiden Pakatan Harapan itu lagi.
Beliau turut sempat menyatakan penghargaannya kepada rakyat di
Kelantan yang sebelum ini memberi mandat kepadanya untuk menjadi Ahli
Parlimen lebih 10 tahun.
“Kelantan tidak akan saya lupa kerana rakyat Kelantanlah yang
mula-mula menjulang saya menjadi wakil rakyat di Nilam Puri ketika itu.
Oleh itu, anda semua tetap di hatiku,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Mohamad yang menyertai Pas pada 1981 menang dalam
Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 di Parlimen Nilam Puri sebelum kemudiannya
menang di kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU 1995.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan