Pengundi Cina Temerloh sokong Tun M sebagai PM

Timbalan Pengerusi AMANAH Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed berkata, masyarakat Cina di kawasan Parlimen Temerloh menyambut baik dan menyokong perisytiharan Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM) sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya pada PRU14 nanti.

Perisytiharan itu dibuat oleh PH dalam konvensyen yang diadakan Shah Alam minggu lalu. Dalam perisytiharan itu Tun M dinamakan calon PM dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Menurut Syed Hamid, masyarakat Cina kebanyakannya terdiri daripada orang berniaga dan dalam keadaan ekonomi sekarang lebih-lebih lagi setelah sistem cukai GST dilaksanakan, kesemua itu sangat membebankan mereka.

Kebanyakan mereka merasakan polisi-polisi berkaitan GST yang dikenakan ke atas peniaga-peniaga menyulitkan dan tidak membantu menyuburkan perniagaan.

“Ada peniaga yang sudah berumur, yang tidak tahu menggunakan komputer, kini terpaksa menggajikan seseorang untuk menguruskan hal-hal berkaitan GST ini sedangkan pendapatan hasil perniagaannya tidaklah seberapa.

“Malah ada peniaga yang terpaksa tutup kedai,” kata Adun Kuala Semantan itu

Hal ini berbeza sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi PM dahulu dan mereka yang telah melalui zaman tersebut dapat membandingkan dengan keadaan ekonomi di bawah pemerintahan Najib Tun Razak sekarang, kata beliau.

Selain itu, janji PH untuk menghapuskan GST dalam masa 100 hari jika PH memerintah negara, turut memberikan harapan dan kelegaan kepada mereka, katanya.

Kata beliau lagi, pengundi Cina mewakili peratus yang besar dalam Parlimen Temerloh dan bakal memberikan impak siginifikan pada keputusan pilihan raya kawasan parlimen itu nanti.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan