Kos akhir ECRL RM81bilion, kata Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mendedahkan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebenarnya memakan belanja RM81 bilion dan menekankan ia perlu dikurangkan secara signifikan agar berdaya maju dari segi kewangan.

Dalam kenyataan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kos itu juga dijangka tidak meliputi kos operasi ECRL.

“Malah, kos projek RM81 bilion itu tidak termasuk defisit kos operasi, yang tidak dapat ditentukan buat masa kini. Kerajaan negeri Selangor membantah penyiapan landasan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Untuk makluman, projek ECRL telah diluluskan oleh Kabinet pada 21 Okt, 2016, manakala perjanjian Kejuruteraaan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan telah ditandatangani dengan China Communication Construction Company (CCCC) pada 1 November tahun yang sama.

Pada asalnya, projek itu bertujuan untuk membina satu laluan rel dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak di Selangor ke Wakaf Bharu di Kelantan dengan nilai RM46 bilion.


Perbincangan mengenai
 kos akan diadakan dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut.
Pada 13 Mei tahun lepas, pentadbiran terdahulu menandatangani perjanjian tambahan dengan CCCC untuk melaksanakan fasa kedua projek tersebut yang akan memperluaskan landasan dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang dengan nilai projek sejumlah RM9 bilion.

Sebelum itu pada 3 Mei, 2017, Kabinet telah meluluskan projek untuk menyambung landasan rel utara dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor di Kelantan, bernilai RM1.28 bilion.

Kabinet kemudiannya pada 23 Ogos, 2017, meluluskan projek menaik taraf ECRL kepada projek landasan berkembar yang akan menelan perbelanjaan tambahan sebanyak RM10.5 bilion.

Berdasarkan angka tersebut, Lim berkata kos asas pembinaan landasan kereta api sepanjang 688.3 km itu berjumlah RM66.78 bilion.

Bagaimanapun, katanya jumlah kos projek ECRL adalah RM80.92 bilion selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain.

Beliau menjelaskan kos tersebut boleh dibahagikan kepada dua komponen, iaitu kos pembangunan yang termasuk kos pembinaan (RM66.78 bilion), kos pengambilalihan tanah (RM2.5 bilion) modal kerja (RM50 juta) dan kos operasi lain (RM500 juta).

Menurut Lim, komponen lain adalah kos pembiayaan yang terdiri daripada faedah (RM7.44 bilion), kupon sukuk (RM3.19 bilion), yuran komitmen (RM238 juta) dan yuran pengurusan (RM216 juta).

Beliau berkata setakat ini, kerajaan melalui anak syarikat operasi miliknya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), telah membayar CCCC sejumlah RM19.68 bilion, terdiri daripada bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion dan bayaran kemajuan sebanyak RM9.67 bilion.

Beliau berkata bayaran pendahuluan itu bersandarkan bon pendahuluan dengan jumlah yang sama yang boleh ditebus oleh MRL untuk mendapatkan semula RM10.02 bilion.

“Dalam erti kata lain, jika berlaku senario terburuk, kerajaan Persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang dibayar.

“Berdasarkan fakta dan angka di atas serta kajian kebolehlaksanaan projek, kami menjangka projek ECRL hanya akan menjadi berdaya maju dari segi kewangan dan ekonomi, jika terdapat pengurangan harga projek secara signifikan oleh CCCC.

“Perbincangan mengenai kos akan diadakan dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut,” katanya.

Bantahan kerajaan Negeri Selangor

Kerajaan Persekutuan, katanya, turut menyedari mengenai tentangan hebat daripada kerajaan negeri Selangor terhadap projek ECRL.

Mengikut Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Kerajaan Persekutuan dikehendaki berunding dengan kerajaan negeri sebelum melaksanakan mana-mana projek persekutuan di negeri yang berkenaan.

Lim berkata bantahan kerajaan negeri Selangor itu berdasarkan prinsip permohonan mereka untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16 km, yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

Penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu akan menggagalkan usaha kerajaan negeri Selangor untuk menyenaraikan kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, katanya.

Beliau juga berkata hanya apabila terdapat pengurangan harga yang signifikan, kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan kerajaan negeri Selangor tentang kebaikan atau keburukan projek ECRL berbanding kebarangkalian penyenaraian Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan