Ikan masin, lobster antara barangan dikecualikan SST

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan beberapa item dikecualikan daripada kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata barangan mentah seperti ikan masin, ketam, udang dan lobster (udang karang) dihentikan kutipan SST bermula hari ini kerana bahan-bahan tersebut diguna pakai dalam beberapa jenis lauk pauk dan menu harian golongan berpendapatan rendah.

“Pada mulanya, pihak kementerian menjangkakan barangan ini adalah item mewah.

“Namun selepas diteliti, ianya tidak. Banyak bahan-bahan ini digunakan untuk pengusahaan nasi kandar dan char kuey teow,” katanya dalam sidang media di bangunan Kementerian Kewangan hari ini.
Antara bahan mentah lain yang dikecualikan SST ialah abalone, tiram, ketam, sotong, moluska, lobster batu (rock lobster) dan udang galah.

Beliau berkata berkemungkinan besar, pindaan itu akan bertahan sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.
“Jika kita perlu meminda semula, iaitu kembali mengutip cukai terhadap bahan-bahan tersebut, ianya akan dibuat pada tahun depan. Kerajaan akan mengkaji impaknya dahulu terutamanya makanan laut mewah seperti abalone,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menggantikan dengan pelaksanaan cukai SST sebagai salah satu janji dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan