RUU Pembiayaan Politik akan dibentangkan dalam penggal ini

Kerajaan berharap akan membentangkan rang undang-undang pembiayaan politik dalam penggal ini untuk memantau kegiatan pembiayaan politik di dalam negara ini, kata Timbalan Menteri(Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada kerangka masa dapat diberikan mengenai proses menggubal undang-undang itu.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi tetapi saya percaya kami akan membentangkannya dalam penggal ini.

“Sudah pasti kami perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri. Bagaimanapun Tun (Dr Mahathir Mohamad) telah bersetuju dari segi prinsipnya, saya tidak fikir ia akan menjadi satu masalah,” kata beliau pada Sidang Kemuncak Antirasuah 2018 semalam.

Beliau berkata rang undang-undang pembiayaan politik itu masih menunggu giliran kerana ada banyak lagi undang-undang yang juga perlu diberi keutamaan.

“Saya diberitahu oleh Peguam Negara terdapat banyak undang-undang untuk didraf jadi mereka perlu memberi keutamaan kepada undang-undang yang penting dahulu … tidak bermakna undang-undang lain tidak penting tetapi kami perlu memberi keutamaan kepada undang-undang yang perlu dipinda dan dimansuhkan,” katanya.

Sidang kemuncak sehari bertemakan “Tadbir Urus Baik dan Integriti untuk Pertumbuhan Mampan Perniagaan” dianjurkan oleh Transperancy International Malaysia (TI-M).

Ia dihadiri kira-kira 500 peserta dan beberapa penceramah tempatan dan antarabangsa, termasuk Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan penasihat pencegahan rasuah UNODC-Asia Tenggara dan Pasifik Francesco Checchi. -Bernama.

https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan