“Bagaimana 100 Hari Mohamad Sabu?”


Oleh MUHAMAD FADZIL AHAMAD

Bukan mudah bagi seorang tokoh politik yang baharu diberi amanah kepimpinan negara untuk mengemudi sebuah kementerian yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan polisi sebuah negara, apatah sebuah kementerian yang turut berperanan besar di peringkat antarabangsa.

Begitulah yang perlu dihadapi Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali di kalangan aktivis politik sebagai ‘Abang Mat’. Segala pengalaman dan kemahiran yang beliau miliki sepanjang bergelumang dalam arena politik dan memantau pentadbiran negara, perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengemudi sebuah kementerian yang disifatkan antara paling kanan dalam negara ini.

Sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan lewat PRU-14 lepas, Mohamad lebih tertonjol sebagai seorang yang sangat sederhana dan tidak kurang yang hanya mengingati beliau sebagai tokoh pemidato yang sering menyelit unsur humor dalam setiap ceramahnya tanpa mengetahui bahawa beliau bukan sahaja berupaya memacu kementeriannya dengan baik tetapi pemikirannya terhadap isu-isu global dan antarabangsa tidak wajar dipandang sepi.
Mohamad Sabu telah memperkenalkan beberapa pendekatan dan pembaharuan khusus di peringkat Kementerian Pertahanan sendiri. Antaranya termasuk memperkasa sistem tadbir urus dan integriti dengan menjadikan kementerian beliau sebagai kementerian pertama disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara.

Malah sejak awal dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad telah memberi penekanan dan keutamaan terhadap isu kebajikan anggota tentera dan anggota veteran angkatan tentera. Antara lain, beliau telah meluluskan peruntukan tambahan bagi menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sungguhpun negara berhadapan kekangan kewangan yang agak membebankan. Beliau juga berusaha memastikan agar inisiatif untuk kebajikan veteran ditambah dari semasa ke semasa. Semuanya demi keselesaan keluarga anggota dan veteran.

Selain itu, sepanjang mengetuai Kementerian Pertahanan selama kurang lebih 5 bulan, Mohamad telah memainkan peranan yang amat signifikan dalam beberapa isu antarabangsa dan menerajui diplomasi pertahanan bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama pertahanan rentas negara khusus di kalangan negara anggota ASEAN seperti Jepun, Singapura, Indonesia, Filipina bahkan bersama negara kuasa besar seperti Amerika dan China baru-baru ini.

Terdapat sekurang-kurangnya 12 persidangan antarabangsa serta perjanjian dua bahkan pelbagai hala telah ditandatangani khusus membabitkan dasar pertahanan negara.

Bagi yang pernah ikuti atau menekuni pemikiran beliau dalam isu-isu melibatkan luar negara, Mohamad Sabu sering membangkitkan tiga isu teras yang perlu diberi perhatian serius oleh negara-negara rakan dalam mana-mana persidangan antarabangsa yang beliau sertai.
Ianya termasuk isu penegasan dan komitmen Malaysia untuk mengekalkan keamanan di Laut China Selatan daripada sebarang bentuk pertempuran bersenjata. Selain itu, isu pelarian Rohingya yang kini memberi kesan terhadap negara jiran termasuk Malaysia dan isu menangani pengganas dan ideologi ISIS di rantau asia.

Mengapa ketiga-tiga isu ini penting?

Pertama, isu keselamatan di Laut China Selatan tersebut amat mustahak kerana ia merangkumi 80 peratus perdagangan dunia yang berasaskan sumber lautan yang mana nilainya tidak kurang daripada USD 5 trillion setahun. Manfaatnya juga amat besar bagi perdagangan Malaysia yang bersambungan dengan lautan Selat Melaka. Justeru sekiranya Laut China Selatan tidak berfungsi sebagai lautan yang bebas sebaliknya keselamatan yang terancam, ianya juga berpotensi mengganggu perdagangan dan berbahaya kepada perniagaan global.

Kedua, isu pelarian Rohingya. Isu ini juga mendesak untuk diselesaikan segera dan tuntas memandangkan jumlah pelarian yang berada di negara serantau kini mencecah lebih 700,000 orang sekaligus membebankan negara-negara yang menerima kemasukan pelarian tersebut malah angka tersebut kian bertambah dari semasa ke semasa. Kesan jika tidak ditangani segera bukan sahaja kepada ekonomi negara terbabit bahkan sosial.

Ketiga, berkenaan isu keganasan. Usaha menangani ideologi dan pemikiran ISIS khususnya di rantau asia amat perlu ditangani bersama dan ianya merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama oleh negara-negara serantau. Ideologi yang menyemai tindakan ganas dan bersenjata telah mengakibatkan kemusnahan yang sukar diperbaiki lagi sebagaimana yang berlaku di negara-negara bergolak ketika ini. Malah jika tiada usaha membasmi bibit keganasan akibat pemikiran ISIS, ia turut mengundang peluang kepada kuasa asing memasuki dan menguasai negara-negara yang disyaki terbabit aktiviti keganasan.

Selanjutnya, prestasi memberangsangkan Mohamad dalam membawa misi pertahanan negara sebagaimana isu teras yang beliau suarakan dapat dilihat dalam beberapa siri kunjungan dan lawatan rasmi ke beberapa negara. Antaranya, dalam kunjungan beliau ke Jepun sekitar bulan September lalu. Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Kerjasama Pertahanan bersama negara matahari terbit tersebut sekaligus mengangkat hubungan kerjasama pertahanan antara dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Malah Mohamad sendiri sifatkan Perjanjian Pertukaran dan Kerjasama Pertahanan dengan Jepun adalah sesuatu yang amat signifikan dan ditunggu-tunggu serta dianggap sebagai pencapaian yang besar bagi negara dan diri beliau sendiri.

Perjanjian tersebut antara lain membolehkan Malaysia mengadakan kerjasama strategik dalam menangani isu keselamatan di Asia Tenggara daripada ancaman keselamatan, inisiatif bantuan kemanusiaan dan latihan ketenteraan secara bersama. Ketika menyampaikan ucaptama dalam program 10th Japan-ASEAN Defence Vice-Ministerial Forum di Nagoya, beliau berkata, usaha menangani keganasan memerlukan pendekatan ‘memenangi hati dan minda’ bagi mengurangkan risiko punca keganasan daripada berlaku.

Manakala di Manila pula, Mohamad telah menghadiri mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Indonesia dan Filipina. Pada pertemuan tersebut ketiga-tiga negara telah mencapai persetujuan untuk memantapkan angkatan tentera darat melalui pelaksanaan latihan ketenteraan bersama sebagai satu inisiatif tambahan dalam mengukuhkan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA).

Di Washington, sekali lagi kewibawaan Mohamad terserlah apabila beliau dengan tegasnya menyatakan pendirian Malaysia yang mahu kawasan perairan Laut China Selatan agar bebas dari sebarang pertempuran bersenjata. Dalam pertemuan dua hala bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Norman, Mohamad Sabu sekali lagi menekankan betapa penyelesaian secara diplomasi adalah amat perlu diusahakan dalam apa jua isu berbangkit selain isu Rohingya dan isu keganasan global khususnya ancaman ISIS.

Begitu juga pencapaian penting Mohamad Sabu dalam mesyuarat ADMM ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 di Singapura pada Oktober lalu. Cadangan agar diwujudkan sebuah gabungan ketenteraan di peringkat ASEAN sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana dan menggerakkan misi bantuan kemanusiaan secara bersepadu telah diterima dan disambut baik dalam kalangan menteri-menteri pertahanan ASEAN.

Selain itu, mereka juga telah menandatangani dokumen Deklarasi bersama yang menyatakan komitmen untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuklah penubuhan ‘Virtual Network of ASEAN Chemical, Biological and Radiological (CBR) Defence Experts’, inisiatif menangani keganasan dan pertukaran maklumat yang dikenali sebagai ‘Our Eyes’ dan inisiatif ‘Guidelines for Air Military Encounters’ yang berperanan sebagai panduan kepada pesawat tentera sekiranya berlaku pertembungan di udara bagi menjamin keselamatan pesawat-pesawat tentera tersebut. Turut dipersetujui adalah cadangan pelaksanaan ASEAN-China Maritime Exercise pada 2018 dan ASEAN-US Maritime Exercise pada 2019.

Dalam pertemuan sama, Mohamad Sabu terus konsisten menyuarakan pandangan berhubung isu sama yang beliau bangkitkan dalam pertemuan-pertemuan sebelumnya iaitu berkenaan Wilayah Rakhine, Myanmar serta ancaman pengganas di negara serantau.

Terkini, dalam lawatan ke China bagi menghadiri forum di Xiangshan Beijing ke-8, Mohamad telah diberi penghormatan yang luar biasa oleh kerajaan Republik Rakyat China dengan menyampaikan ucapan bertajuk “Terrorism Threats and Countermeasures”.

Peluang berucap tersebut telah dimanfaatkan sebaiknya oleh beliau yang menyentuh cabaran kepada usaha membasmi keganasan dan berkongsi pengalaman Malaysia dalam menyatukan masyarakat antarabangsa melawan keganasan.

Ternyata, peranan sebagai seorang Menteri Pertahanan bukanlah semudah yang disangka. Kepada mereka yang melihat Mohamad Sabu tidak berbuat apa-apa sepanjang lima bulan sebagai menteri, barangkali tulisan ini boleh membantu dan memberi sedikit pencerahan kepada semua
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan